Thursday 21 May 2015

LASKAR PELANGI

1.0       Pendahuluan
Novel yang berjudul Laskar Pelangi merupakan sebuah novel yang pertama ditulis Andrea Hirata. Selain itu, Andrea Hirata turut menghasilkan beberapa buah novel lain seperti Sang Pemimpi, Endesor, serta Maryyamah Karpov. Namun begitu, novel Laskar Pelangi merupakan sebuah buku sastera yang terlaris di Indonesia dan seterusnya novel ini diterbitkan di seluruh dunia dalam dicetak dalam pelbagai bahasa.
            Novel ini mengisahkan tentang kehidupan kanak-kanak yang tinggal di Belitong. Andrea Hirata menulis cerita ini berdasarkan situasi pendidikan di Indonesia pada ketika itu. Ceritanya bermula dengan sebuah sekolah yang serba kekurangan dan sangat daif yang hanya menunggu masa untuk ditutup kerana kekurangan murid. Nama sekolah tersebut adalah SD Muhammadiyah yang terletak di Gantung Belitung Timur. Sekolah itu akan ditutup sekiranya murid-murid kurang daripada 10 orang. Namun begitu, sekolah itu tidak ditutup kerana pada hari pertama pembukaannya, murid-murid yang diperoleh seramai 10 orang. 10 orang murid itulah yang digelar Laskar Pelangi.
Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), Laskar bermaksud tentera atau pasukan manakala dalam Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa Laskar adalah askar, Berbalik semula kepada cerita Laskar Pelangi, nama ini diberikan oleh guru mereka iaitu Bu Mus. Bu Mus pada waktu itu memerhatikan gelagat anak muridnya yang begitu asyik melihat pelangi yang terbit selepas waktu hujan dan murid-muridnya begitu kagum melihat pelangi tersebut dan mereka sukakannya.
            Sepuluh watak kanak-kanak yang menghiasi novel ini ialah Ikal, Lintang, Sahara, Mahar, A Kiong, Syah dan, Kucai, Borek, Trapani dan Harun. Novel ini banyak mengisahkan tentang kehidupan seharian murid-murid ini di sekolah. 10 orang murid-murid ini merupakan anak kampung yang miskin tetapi mempunyai keupayaan yang luar biasa. Mereka menjalani kehidupan dalam keluarga yang berbeza. Namun begitu, mereka mampu menjadi sahabat yang baik antara satu sama lain. Pada awalnya, penulis memfokuskan pada watak ‘aku’ iaitu Ikal. Ikal merupakan seorang anak yang pandai. Ikal mempunyai minat yang sangat tinggi dalam sastera. Hal ini dapat dilihat dalam cerita ini yang Ikal sangat gemar menulis puisi. Selain itu, sahabatnya Lintang merupakan seorang yang genius. Lintang merupakan seorang anak nelayan yang miskin dan mempunyai adik-beradik yang ramai iaitu seramai 14 orang. Lintang sangat pintar dalam mata pelajaran Matematik. Dia mampu mencongak angka tanpa menggunakan lidi. Namun cita-citanya menjadi seorang pakar dalam Matematik terhalang setelah kematian ayahnya. Apabila ayahnya meninggal dunia, kehidupannya menjadi bertambah sukar.
            Sahara merupakan satu-satunya watak anak perempuan dalam cerita ini dalam kalangan 10 orang sahabat ini. Sahara berpendirian teguh dan seorang yang keras kepala. Mahar pula meminati bidang seni. Setiap hari dia membawa radio buruknya ke sekolah. Mahar suka menyanyi, dan dalam cerita ini turut menghiburkan apabila Mahar menyanyikan lagu Seroja. A Kiong dalam cerita ini pula salah seorang anak keturunan Tiongha. Tiongha suka berkawan dengan Mahar. Watak seterusnya adalah Syahdan yang merupakan seorang yang ceria walaupun tidak menonjol di dalam kelas. Kucai pula merupakan ketua kelas. Kucai mengalami masalah penglihatan iaitu rabun jauh. Borek pula seorang yang sangat taksub untuk membina otot badan. Dia ingin menjadi seorang lelaki yang hebat dan menarik. Baginya lelaki yang menarik, mestilah memiliki tubuh badan yang berotot.Trapani pula seorang yang pintar dan tampan dan yang terakhir ialah Harun. Harun merupakan kanak-kanak istimewa dalam kisah ini dan akalnya tidak seperti kanak-kanak lain.
            Dalam cerita ini, walaupun kanak-kanak ini menjalani hidup yang sukar untuk berjaya dan mengejar cita-cita mereka, kesungguhan dalam menuntut ilmu mengatasi segala-galanya. Cerita ini bukan sekadar memberi iktibar tentang kesungguhan murid-murid ini, tetapi sangat berguna kepada semua pendidik untuk berusaha mengubah nasib anak-anak murid. Bagi pembaca, Laskar Pelangi adalah sebuah Novel Sastera yang sangat menyentuh kalbu dalam gaya penulisannya yang bersederhana dan penceritaanya mengetengahkan watak kanak-kanak yang baik dan tulus telah berjaya memikat seluruh pembaca.




2.0       Sinopsis Novel Laskar Pelangi
Novel Laskar Pelangi dimulakan dengan suasana yang berlaku semasa hari pendaftaran pelajar darjah satu di Sekolah Dasar Muhammadiyah di Pulau Belitong. Situasi yang berlaku ialah hanya terdapat sembilan orang yang mendaftar di sekolah tersebut menyebabkan mereka berasa risau kerana pembukaan sesebuah sekolah mestilah memiliki sekurang-kurangnya 10 orang pelajar. Guru besar sekolah tersebut ialah Pak Harfan dan Bu Mus sebagai guru di sekolah tersebut.
            Saat-saat terakhir sekolah tersebut akan diumumkan untuk ditutup, Harun muncul bersama ibunya. Harun berusia 15 tahun dan kurang berkeupayaan. Harun merupakan penyelamat sekolah tersebut untuk terus beroperasi. Melalui sekolah tersebut, mereka bersahabat  antara satu sama lain. Antara pelajar di sekolah tersebut ialah ikal, harun, syahdan, A.Kiong, Kucai, Borek, Sahara, Trapani,Mahar dan Lintang.
            Kisah dalam Laskar Pelangi banyak memaparkan seorang guru yang bernama Bu Muslimah iaitu seorang guru yang penuh komitmen dalam memastikan anak didiknya berjaya. Bu muslimah juga digambarkan seorang yang prihatin serta penyayang terhadap anak didiknya.
            Seterusnya, Laskar Pelangi mengisahkan tentang ragam kejadian yang penuh dengan suka dan duka kesepuluh pelajarnya. Namun, terdapat seorang pelajar yang baru memasuki sekolah tersebut iaitu pelajar wanita kedua yang bernama Flo.       
            12 tahun kemudian, kesemua pelajar mencapai dewasa. Mereka berjuang untuk menggapai cita-cita masing-masing. Kesemua menjalani liku hidup dengan penuh cabaran demi masa depan. Ada dalam kalangan mereka yang berjaya mencapai cita-cita. Namun ada juga yang hanya mampu berserah pada takdir dan menjalani seperti kehidupan biasa. Dan akhirnya  mereka semua dengan perjuangan yang keras dan gigih mendapatkan apa yang mereka cita-citakan.


3.0       Isi dan Mesej
Menurut Mohd Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani (2014:69), menyatakan bahawa pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan oleh pengarang menjadi subjek, akhirnya menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej , mutiara dan permata karya. Berdasarkan novel Laskar Pelangi yang digarap oleh Andrea Hirata, terdapat pelbagai isi dan mesej yang ingin disampaikan kepada  pembaca. Antara isi dan mesej tersebut ialah kepentingan pendidikan, kesungguhan menimba ilmu, pengorbanan seorang guru dan kemiskinan.
3.1          Pendidikan
Isi dan mesej utama yang ingin disampaikan oleh Andrea Hirata dalam novel Laskar Pelangi ialah mesej tentang kepentingan pendidikan. Bidang pendidikan amat penting untuk membangunkan sesebuah masyarakat untuk terus maju. Pendidikan juga mampu melahirkan seorang individu yang budiman dan dengan pendidikan yang dimilikinya mampu mencurah bakti serta membangunkan masyarakatnya sendiri. Berdasarkan novel ini, pengarang telah menonjolkan watak masyarakat yang mengharapkan anak-anak mereka memperoleh pendidikan. Antara contoh teks dalam novel Laskar Pelangi yang menunjukkan mesej kepentingan pendidikan ialah:
Pagi itu, waktu aku masih kecil, aku duduk di bangku panjang di depan sebuah kelas. Sebatang pohon tua yang riang meneduhiku, ayahku duduk di sampingku, memeluk pundakku dengan kedua lengannya dan tersenyum menganggu-angguk pada setiap orangtua dan anak-anaknya yang duduk berderet-deret di bangku panjang lain di depan kami. Hari itu amat penting: hari pertama masuk SD.
                                                              (Laskar Pelangi, 2008:10)
…guru-guru yang sederhana ini berada dalam situasi genting karena pengawas sekolah dari Depdiknas Sumsel telah memperingatkan bahwa jika SD Muhammadiyah hanya mendapat murid baru kurang dari sepuluh orang maka sekolah paling tua di Belitong ini harus ditutup.
 (Laskar Pelangi, 2008 :12)

Harun telah menyelamatkan kami dan kami bersorak. Sahara berdiri tegak merapikan lipatan jilbabnya yang menyandang tasnya dengan gagah, ia tidak mau duduk lagi. Bu Mus tersipu. Air mata guru ini surut dan ia menyeka keringat di wajahnya yang belepotan karena bercampur dengan bedak tepung beras.
(Laskar Pelangi, 2008 :15)
3.2          Kesungguhan Menimba Ilmu
Andrea Hirata juga menonjolkan mesej berkaitan kesungguhan para pelajar si SD Muhammadiyah dalam menimba ilmu. Mereka sangat teruja untuk memulakan hari persekolahan. Walaupun sekolah tempat mereka belajar agak daif, tetapi perkara tersebut tidak menjadikan alasan untuk mereka tidak meneruskan sesi persekolahan. Anatar contoh teks yang menunjukkan kesungguhan menimba ilmu dalam kalangan pelajar SD Muhammadiayah:

Mendengar keputusan itu Lintang meronta-ronta ingin segera masuk kelas. Ayahnnya berusaha keras menenangkannya, tapi ia memberontak, menepis pegangan ayahnya, melonjak, dan menghambur ke dalam kelas mencari bangku kosongnya sendii. Di bangku itu ia seumpama belita yang dinaikkan ke atas tank, girang tak alang kepalang, tak mau turun lagi.
(Laskar Pelangi, 2008:16-17)

Pernah suatu ketika hujan turun amat lebat, petir sambar menyambar. Trapani dan Mahar memakai terindak, topi keruncut dari daun lais khas tentera Vietkong, untuk melindungi jambul mereka. Kucai, Borek dan Sahara memakai jas hujan kuning bergambar gerigi metal besar di punggungnya dengan tulisan “UPT Bel” (Unit Penambangan Timah Belitong)-jas hujan jatah PN Timah milik bapaknya. Kami sisanya hamper basah kuyup. Tapi sehari pun kami tak pernah bolos, dan kami tak pernah mengeluh.
(Laskar Pelangi, 2008:31)

Pagi itu Lintang terlambat masuk kelas. Kami tercengang mendengar ceritanya.
“Aku tak bisa melintas. Seekor buaya sebesar pohon kelapa tak mau berganjak, menghalang di tengah jalan. Tak ada siapa-siapa yang bias kumintai bantuan. Aku hanya berdiri mematung, berbicara dengan diriku sendiri.
(Laskar Pelangi, 2008:67)

3.3          Pengorbanan Seorang Guru
Tambahan lagi, pengarang juga ingin menyampaikan mesej tentang pengorbanan seorang guru ketika pembukaan sekolah. Selain itu, pengarang juga menonjolkan mesej seorang guru yang hanya mempunyai pendidikan tahap ijazah mampu mengajar pelbagai mata pelajaran di sekolah SD Muhammadiyah. Antara contoh teks yang menunjukkan pengorbanan seorang guru adalah seperti berikut:

Lebih menarik membicarakan tentang orang-orang seperti apa yang rela menghabiskan hidupnya bertahan di sekolah semacm ini. Orang-orang itu tentu saja kepala sekolah kami Pak K.A Harfan Efendy Noor bin K.A Fadhilah Zein Noor dan Ibu N.A Muslimah Hafsari Hamid binti K.A Abdul Hamid.
                                                               (Laskar Pelangi, 2008:23 )

Lalu Pak Harfan mendinginklan suasana yang berkisah tentang penderitaan dan tekanan yang dialami seorang pria bernama Zubir bin Awam. Dulu nun di tahun 1929 tokoh ini bersusah payah, seperti Rasulullah ketika pertama tiba di Madinah, mendirikan sekolah dari jerjak kayu bulat seperti kandang. Itulah sekolah pertama di Belitong. Kemudian muncul para tokoh seperti K.A. Abdul Hamid dan Ibrahim bin Zaidin yang berkorban habis-habisan melanjutkan sekolah kandang itu menjadi sekolah Muhammadiyah. Sekolah ini adalah sekolah Islam pertama di Belitong, bahkan mungkin di Sumatera Selatan.
(Laskar pelangi, 2008:25)

Di sekolah Muhammadiyah setiap hari aku membaca keberanian berkorban semacam itu di wajah wanita muda ini. N.A. Muslimah Hafsari Hamid binti K.A. Abdul Hamid, atau kami memanggilnya Bu Mus, hanya memiliki selembar ijazah SKP (Sekolah Kepandaian Putri), namun beliau bertekad melanjutkan cita-cita ayahnya-K.A. Abdul Hamid, pelopor sekolah Muhammadiyah di Belitong-untuk terus mengobarkan pendidikan Islam.
(Laskar Pelangi, 2008:29)

Bagi kami Pak Harfan dan Bu Mus adalah pahlawan tanpa tanda jasa yang sesungguhnya. Merekalah mentor, penjaga, sahabat, pengajar dan guru spiritual…Mereka adalah ksatria pamrih, pangeran keihklasan, dan sumur jernih ilmu pengetahuan di ladang yang ditinggalkan.
(Laskar Pelangi, 2008:31)

3.4          Kemiskinan
Andrea Hirata juga menyelikan mesej tentang kehidupan masyarakat yang miskin. Kehidupan masyarakat di Belitong terbahagi mengikut strata ekonomi. Masyarakat Belitong juga terdiri daripada pelbagai taraf pekerjaan. Antara contoh teks mesej yang menonjolkan kemiskinan masyarakat seperti yang berikut:

Aku tahu beliau sedang gugup dan aku maklum bahawa tak mudah bagi seorang pria berusia empat puluh tujuh tahun, seorang buruh tambang yang beranak banyak dan bergaji kecil, untuk menyerahkan anak laki-lakinya ke sekolah. Lebih mudah menyerahkannya kepada tauke pasar pagi untuk jadi tukang parut atau pada juragan pantai untuk jadi kuli kopra agar dapat membantu ekonomi keluarga. Menyekolahkan anak berarti mengikatkan diri pada biaya selama belasan tahun dan hal itu bukan perkara gampang bagi keluarga kami.
                                                                    (Laskar Pelangi, 2008:11)

Agaknya selama turun temurun keluarga laki-laki cemara angina itu tak mampu terangkat dari endemik kemiskinan komunitas Melayu yang menjadi nelayan.
                                                                   (Laskar Pelangi, 2008:17)

…Bapak Tionghoa berwajah ramah ini dikenali sebagai seorang Tionghoa kebun, strata ekonomi terendah dalam kelas sosial orang-orang Tionghoa di Belitong.
(Laskar Pelangi, 2008:27)

4.0       Nilai budaya
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081), nilai membawa maksud darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial (Mohd Rashid Md Idris, 2011:12), nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawaian kepada sesuatu kelakuan manusia. Dalam bahasa Arab, nilai diistilahkan sebagai al-qimah yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik dan buruk serta membezakan yang betul dan salah. Oleh hal yang demikian, nilai bukan sahaja satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
            Budaya pula berasal dari perkataan Sanskrit, iaitu Buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara amnya, ia membincangkan hal-hal yang berkaitan budi dan akal manusia. Dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut culture, yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Budaya yang dimiliki oleh manusia merupakan elemen yang membezakan manusia dengan hidupan lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam bidang antropologi. Dalam disiplin ini, tiada perbezaan antara “budaya” dengan “kebudayaan”.
            Budaya mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenali sebagai determinism atau penentuan budaya dalam kalangan ahli antropologi. Selain itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.
            Budaya juga turut merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai satu konsep yang menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan, serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
            Nilai budaya pula merupakan nilai-nilai yang disepakati dan diamalkan dalam suatu masyarakat, sesebuah organisasi, lingkungan masyarakat, kepercayaan, simbol-simbol, dengan ciri-ciri tertentu yang dapat dibezakan antara satu sama lain. Nilai-nilai budaya menurut Rosyadi (1995:74) merupakan sesuatu yang dianggap baik dan berharga oleh suatu kelompok masyarakat atau suku bangsa yang belum tentu dipandang baik oleh kelompok masyarakat atau suku bangsa lain kerana nilai budaya membatasi dan memberikan karakteristik pada sutu masyarakat dan kebudayaannya. Nilai budaya merupakan tingkat yang paling abstrak dari adat, hidup dan berakar dalam alam fikiran masyarakat, dan sukar diganti dengan nilai budaya lain dalam waktu singkat.
4.1 Masyarakat yang mementingkan pendidikan
Dalam novel ‘Laskar Pelangi’ ini, terpamer dengan jelas nilai budaya masyarakat yang mementingkan pendidikan. Ini jelas ditonjolkan pada dialog berikut :
‘Kami bertetangga dan kami adalah orang-orang Melayu Belitong dari sebuah komunitas yang paling miskin di pulau itu. Adapun sekolah ini, SD Muhammadiyah juga sekolah kampung paling miskin di Belitong. Ada tiga alasan mengapa para orang tua mendaftarkan anaknya di sini. Pertama, kerana sekolah Muhammadiyah tidak menetapkan yuran dalam bentuk apa pun, para orang tua hanya menyumbang sukarela semampu mereka. Kedua kerana firasat anak-anak mereka dianggap memiliki karakter yang mudah disesatkan iblis sehingga sejak usia muda harus mendapatkan pendadaran Islam yang tertangguh. Ketiga kerana, anaknya memang tak diterima di sekolah mana pun’.
                                                                                          (Laskar Pelangi: halaman 12)
Berdasarkan petikan di atas, jelas menggambarkan masyarakat yang mementing budaya pendidikan kepada anak-anak walaupun mereka miskin. Hidup mereka hanya cukup-cukup makan untuk sebuah keluarga. Namun, ibu bapa ini mahu melihat anak-anak mereka berjaya dan lebih baik daripada mereka. Pelbagai ranjau terpaksa ditempuh untuk memberi pendidikan kepada anak-anak. Kehidupan ibu bapa ini begitu miskin, untuk membelikan kelengkapan sekolah seperti baju sekolah, kasut, beg dan sebagainya mereka tidak mampu. Oleh itu, mereka memilih SD Muhammadiyah untuk pendidikan anak-anak kerana tidak menetapkan yuran kerana sekolah ini begitu daif dan hanya itu yang termampu bagi keluarga ini seperti keluarga Lintang, Kucai, Mahar, Syahdan dan sebagainya.
                                                                             
4.2 Budaya korporasi
Novel ini memaparkan budaya korporasi yang telah lama diamalkan oleh masyarakat di Pulau Belitong ini. Budaya ini adalah seperti berikut :
‘Pulau Belitong yang makmur seperti mengasingkan diri dari tanah Sumatra yang membujur dan di sana mengalir kebudayaan Melayu yang tua. Pada abad ke-19, ketika korporasi secara sistematik mengeksploitasi timah, kebudayaan sahaja itu mulai hidup dalam karakteristik sosiologi tertentu yang atribut-atributnya mencerminkan perbedaan sangat mencolok seolah berdasarkan status berkasta-kasta. Kasta majemuk itu tersusun rapi mulai dari para petinggi PN timah yang disebut “orang staff” atau urang tetap dalam dialek local sampai pada para tukang pikul pipa di instalasi penambangan serta warga suku Sawang yang menjadi buruh-buruh yuka penjahit karung timah. Salah satu antribut diskriminasi itu adalah sekolah-sekolah PN’.
                                                                                          (Laskar Pelangi : halaman 36)
Berdasarkan ayat di atas, jelas menggambarkan budaya korporasi dalam masyarakat di Pulau Belitong ini.budaya ini di mulakan dengan PN Timah dan seterusnya mengikut sistem kasta. Budaya perusahaan ini dimulakan dengan peringkat yang tinggi kepada yang serendah-rendah tahapnya iaitu yukang jahit karung timah. Budaya menjalankan perusahaan ini merupa satu budaya yang unik di Pulau Belitong ini.
5.0       Pandangan hidup
Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972) dalam Mohd Rashid Md.Idris (2014) menyatakan bahawa pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perpekstif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.
Pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menggapai dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia, dan alam. Setiap masyarakat selalu memiliki pandangan hidup tersebut, begitu juga dengan masyarakat Melayu. Sehubungan itu, pandangan hidup orang Melayu lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Pandangan hidup tentang manusia dapat diperincikan kepada tiga bahagian iaitu keluarga, pemimpin dan masyarakat.
Secara keseluruhannya, pandangan hidup orang Melayu telah melalui beberapa peringkat evolusi. Malah jika diteliti dengan mendalam, zaman penjajahan, zaman menuntut kemerdekaan serta zaman kotemporari juga telah mempengaruhi pandangan hidup masyarakat Melayu. Namun, secara amnya, Islam sememangnya telah berakar umbi dalam pemikiran pembentukan pandangan hidup masyarakat Melayu. Namun begitu, unsur-unsur tradisi masih mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan seharian mereka.
5.1             Agama dijadikan pegangan hidup
‘Cerita selanjutnya sangat memukau. Sebuah cerita peperangan besar zaman Rasulullah di mana kekuatan dibentuk oleh iman bukan oleh jumlah tentera : perang Badar ! tiga ratus tiga belas tentera Islam mengalahkan ribuan tentera Quraisy yang kalap  dan bersenjata lengkap. ‘Pak Harfan memberi kami pelajaran pertama tentang keteguhan pendirian, tentang ketekunan, tentang keinginan kuat untuk mencapai cita-cita. Beliau meyakinkan kami bahawa hidup bias demikian bahagia dalam keterbatasan jika dimaknai dengan keikhlasan untuk bekorban’.
                                                                                                (Laskar Pelangi : halaman 24-25)
Dalam novel Laskar Pelangi karya Adrea Hirata mementingkan agama sebagai pandagan hidup. Melalui agama dan cerita-cerita zaman Rasulullah dan para sahabat kepada anak-anak ini dapat meningkatkan iman dan mengukuhkan jiwa anak-anak ini. Di samping itu, jiwa anak-anak ini terus bekobar-kobar untuk menepuh kesusahan yang mendatang dengan penuh hati yang terbuka. Mereka tidak kecewa didaftarkan di sekolah yang serba kekurangan ini. Sebaliknya, mereka berasa begitu bertuah mendapat guru-guru yang cukup hebat. Mereka menanam semangat untuk terus berjaya bersama-sama sahabat lain.
5.2             Kepentingan pendidikan.
Pagi itu, Lintang lambat masuk kelas. Kami tercengang mendengar ceritanya. ‘aku tak bisa melintas. Seekor buaya sebesar pohon kelapa tak mau beranjak, menghalang di tengah jalan. Tak ada siapa-siapa yang bisa ku mintai bantuan. Aku hanya berdiri mematung, berbicara dengan diriku sendiri’.
                                                                                          (Laskar Pelangi : halaman 67)
Dalam novel ini, menonjolkan betapa pentingnya pendidikan pada anak-anak di Pulau Belitong ini. Anak-anak ini kebanyakan terdiri daripada keluarga yang miskin. Pelbagai ranjau terpaksa di tempuh untuk kesekolah dengan menunggang basikal dan terpaksa menempuh sungai yang penuh dengan buaya. Nyawa anak-anak ini seperti telur di hujung tanduk. Namun, demi mengejar cita-cita serta membela nasib keluarga, semangat yang ada dalam diri anak-anak ini begitu kental. Di samping itu, mereka ke sekolah tidak memakai pakaian seragam seperti kebanyakan sekolah yang lain kerana mereka tidak mampu untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah. Semangat dan cara hidup yang ada pada anak-anak ini dapat dijadikan contoh kepada kita sebagai pembaca. Pengarang lebih menekan pendidikan di awal hingga akhir cerita.
6.0       Nilai ilmu
Konsep ilmu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Dari segi istilah, ilmu  merupakan pengetahuan, kepandaian atau kajian tentang sesuatu perkara (mampu menafsir, menganalisa, mengolah maksud yang tersirat dan tersurat disebalik maklumat serta berupaya mengemukakan maklumat baru). Menurut bahasa Arab, perkataan ilmu adalah sama dengan maklumat iaitu Alima bererti mengetahui manakala Al-ilmu bererti pengetahuan. Melalui penggabungan kedua-dua perkataan ini, dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai ilmu pengetahuan.
6.1          Ilmu Agama
Nilai agama adalah peraturan hidup yang harus diterima manusia sebagai perintah-perintah, larangan larangan dan ajaran-ajaran yang bersumber dari Tuhan Yang Maha Esa. Pelanggaran terhadap norma ini akan mendapat hukuman dari Tuhan Yang Maha Esa berupa “siksa” kelak di akhirat. Nilai ilmu yang terdapat dalam Novel Laskar Pelangi ialah berpedoman kepada Al-Quran dan Hadis.
               Agama berpandukan Al-Quran turut digambarkan oleh seorang guru kepada anak muridnya berkaitan dengan Surah An-Nisa yang mementingkan tentang solat. Selain itu, penulis juga ingin menyampaikan tentang tangunggajawab atau kepimpinan seseorang dalam sesuatu tugas. Contohnya:
 “Shalatlah tepat waktu, biar dapat pahala lebih banyak,” demikian Bu Mus selalu menasihati kami.”
“Bukankah ini kata-kata yang diilhami surah An-Nisa dan telah diucapkan ratusan kali oleh puluhan khatib? Seringkali dianggap sambil lalu saja oleh umat, Tapi jika yang mengucapkannya Bu Mus kata-kata itu demikian berbeda, begitu sakti, berdengung-dengung di dalam kalbu. Yang terasa kemudian adalah penyesalan mengapa telah terlambat shalat.”
                                                                           (Laskar Pelangi, 2008: 28)
“ Kata-kata itu mengajarkan arti penting memegang amanah sebagai pemimpin dan Al-Quran mengingatkan bahwa kepemimpinan seseorang akan dipertanggungjawabkan nanti di akhirat.”
                                                               (Laskar Pelangi, 2008: 67)
Agama berpandukan Hadis turut diterangkan dalam karya Laskar Pelangi. Hadis tersebut menerangkan tentang amar makruf nahi mungkar iaitu yang bermaksud menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan perbuatan yang tidak baik. Contohnya:
“Lalu persis di bawah matahari tadi tertera huruf-huruf arab gundul yang nanti setelah kelas dua, setelah aku pandai membaca huruf arab, aku tahu bahawa tulisa itu berbunyi amar makruf nahi mungkar artinya: menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar”. Itulah pedoman utama warga Muhammadiyah. Kata-kata itu melekat dalam kalbu kami sampai dewasa nanti. Kata-kata yang begitu kami kenal seperti kami mengenal bau alami ibu-ibu kami.”
(Laskar Pelangi, 2008: 18)
6.2          Ilmu Pendidikan
Ilmu pendidikan yang sering juga disebut sebagai pedogi merupakan suatu disiplin ilmu yang terkait dengan proses peradaban, pemberbudayaan dan pendewasaan manusia. Pendidikan sebagai upaya manusia untuk manusia adalah aspek dan hasil budaya terbaik yang mampu disediakan setiap generasi manusia untuk kepentingan generasi manusia muda agar dapat melanjutkan kehidupan dan cara hidup mereka dalam konteks sosiobudaya mereka pula.
“Sebuah kisah yang sangat mengesankan. Pelajaran moral pertama bagiku jika tak rajin shalat maka pandai-pandailah berenang.”
(Laskar Pelangi, 2008:21)
“Cerita selanjutnya sangat memukau. Sebuah cerita peperangan besar zaman Rasulullah di mana kekuatan dibentuk oleh iman bukan oleh jumlah tentera: perang Badar! Tiga rtus tiga belas tentera Islam mengalahkan ribuan tentera Quraisy yang kalap dan bersenjata lengkap.”
(Laskar Pelangi, 2008:22)
6.3          Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan (2008), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Maksud Firasat dari segi Islam ialah perasaan atau gerakan hati  yang benar atau tepat kerana mendapat pimpinan dari Allah SWT. Sabda Rasulullah: “Takutlah olehmu firasat orang mukmin kerana ia memandang dengan cahaya  Allah.” (Hadis Riwayat At Tarmizi).
               Ilmu firasat yang terdapat dalam Karya “Laskar Pelangi” adalah firasat berkaitan mimpi seorang penduduk mekah dan firasat kehancuran Quraisy dalam kehebatan perang Badar. Ilmi firasat tersebut diceritakan oleh Pak Harfan iaitu guru besar Sekolah Dasar Muhammadiah. Contohnya:
“ Ketahuilah wahai keluarga Ghudar, berangkatlah kalian ke tempat-tempat kematian kalian dalam masa tiga hari”. Demikianlah Pak Harfan berteriak lantang sambil menatap langit melalui jendela kelas kami. Beliau memekikkan firasat mimpi seorang penduduk Mekkah, firasat kehancuran Quraisy dalam kehebatan perang Badar”
(Laskar Pelangi, 2008:22)
6.4          Ilmu Berhitung / Hisab
Matematik atau dahulunya dikenali sebagai ilmu hisab, ialah satu bidang ilmu yang mengkaji kuantiti, struktur, ruang dan perubahan. Karya “Laskar Pelangi” turut memaparkan penggunaan ilmu berhitung. Ilmu berhitung diterangkan melalui watak Lintang iaitu seorang pelajar yang agak cerdik antara sepuluh pelajar Sekolah Dasar Muhammadiyah. Contohnya:
“Maka ia sekuat tenaga mendukung pendidikan Lintang dengan cara-caranya sendiri, sejauh kemampuannya. Ketika kelas satu dulu pernah Lintang menanyakan kepada ayahnya sebuah persoalan pekerjaan rumah kali-kalian sederhana dalam mata pelajaran berhitung.”
(Laskar Pelangi, 2008: 91)

7.0       Estetika dan Kepengarangan
7.1       Estetika
Menurut Mohd Rashid Md. Idris et al. (2014), estetik dan kepengarangan adalah dua aspek yang penting dalam mempengaruhi kedudukan sesebuah teks dan seseorang sasterawan. Estetik berhubung kait dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Ia membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membacanya.
            Pendekatan estetik ialah yang menilai teks sastera dengan merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Dalam seni sastera, apabila kita berbicara tentang keindahan, ia akan selalu merujuk kepada keindahan yang berkait rapat dengan kesan daripada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Keindahan juga terpancar daripada bahasa yang digunakan pengarang. Cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya juga yang menyerlahkan rasa keindahan.
            Dalam novel Laskar Pelangi hasil karya Andrea Hirata ini, kebanyakan teknik kepengarangan yang ditonjolkan adalah bersifat keindahan dalam imaginasi. Walaupun begitu, teknik-teknik kepengarangan yang lain masih digunakan. Antara contoh keindahan dalam kepengarangan yang terdapat dalam novel ini disertakan di bawah.


7.1.1          Keindahan pengalaman
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pengalaman merupakan apa-apa yang dialami, dirasai, ditempuh dan lain-lain. Keindahan pengalaman bergantung kepada keunikan pengalaman misalnya pengalaman pengarang yang luar biasa, belum pernah dialami pengarang, menarik dan memberi pengarang kepuasan. Membaca adalah proses menambahkan pengalaman. Pengalaman keindahan ialah apabila kita merasa kesan yang menarik, mengagumkan, menyedihkan atau yang memeranjatkan.
i)  Keindahan pengalaman yang ditonjolkan oleh pengarang dapat dirasai pembaca. Melalui pembacaan novel ini, pembaca dapat mengetahui tentang penemuan jenis-jenis timah yang menjadi sumber alam bagi masyarakat di Pulau Belitong. Selain itu, pembaca dapat menambah pengalaman mereka mengenai suasana Tembok Besar Cina yang hanya dapat dilihat hanya di Belitong dan tidak perlu ke Jiachanying lagi.
Aichang, phok, kiaw, dan khaknai, seluruhnya adalah perangkat penambangan timah primitif yang sekarang dianggap temuan arkeologi, bukti bahawa nenek moyang mereka telah lama sekali berada di Pulau Belitong. Komunitas ini selalu tipikal: rendah hati dan pekerja keras. Meskipun jauh terpisah dari akar budayanya namun mereka senantiasa memelihara adat istiadatnya, dan di Belitong mereka beruntung karena mereka tidak perlu jauh-jauh datang ke Jinchanying kalau hanya ingin melihat Tembok Besar Cina.”
(Laskar Pelangi, halaman 32)
ii) Penceritaan yang ditonjolkan oleh pengarang memberi pengetahuan yang lebih luas kepada pembaca mengenai suasana di Pulau Belitong. Kemungkinan pengalaman yang tidak dapat dirasai oleh pembaca, secara sendirinya diketahui melalui pembacaan novel ini. Keindahan ini merupakan salah satu pengalaman yang begitu berharga dirasakan oleh pembaca. 
Jika disaksikan dari udara di malam hari Pulau Belitong tampak seperti familia besar Ctenopore, yakni ubur-ubur yang memancarkan cahaya terang berwarna biru dalam kegelapan iaitu: sendiri, kecil, bersinar, indah, dan kaya raya. Belitong melayang-layang di antara Selat Gaspar dan Karimata bak mutiara dalam tangkupan kerang.
(Laskar Pelangi, halaman 34)
7.1.2          Keindahan perasaan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perasaan merujuk kepada perihal merasa dalam hati atau batin, hasil atau perbuatan merasa dengan badan atau kulit dan lain-lain. Rasa keindahan juga berkait rapat dengan kemampuan sesebuah teks itu menimbulkan perasaan kita, seperti perasaan gembira, simpati, marah, terharu, dan sebagainya.
i) Pengarang menyatakan kesedihan yang dialami oleh pelajar-pelajar apabila mereka tidak dapat ke sekolah kerana sekolah tersebut akan ditutup jika bilangan pelajar yang mendaftar tidak mencapai target yang ditetapkan oleh pengetua. Pengarang telah menggunakan pengulangan perkataan ‘pedih’ bagi menyatakan perasaan pelajar yang mempunyai semangat untuk belajar tetapi tidak kesampaian. Petikan yang menceritakan perasaan tersebut ialah:
Para orang tua mungkin menganggap kekurangan satu murid sebagai petanda bagi anak-anaknya bahwa mereka memang sebaiknya didaftarkan pada para juragan saja. Sedangkan aku dan agaknya juga anak-anak lain merasa pedih: pedih pada orang tua kami yang tak mampu, pedih menyaksikan detik-detik terakhir sebuah sekolah tua yang tutup justru pada hari pertama kami ingin sekolah, dan pedih pada niat kuat kami untuk belajar tapi tinggal selangkah lagi harus terhenti hanya karena kekaurangan satu murid. Kami menunduk dalam-dalam.
(Laskar pelangi, halaman 13)
ii) Melalui penceritaan pengarang terhadap keadaan sekolah Muhammadiyah, pembaca akan tersentuh mengenai keadaan sekolah tersebut yang naif. Bumbung sekolah tersebut bocor dan akan mengakibatkan banjir berlaku di dalam kelas apabila hujan turun. Keadaan sebegini tidak mendapat tempat di hati guru mereka apabila murid-murid di sekolah tersebut mengeluh mengenai masalah tersebut. Situasi yang terpaksa dihadapi oleh murid-murid tersebut menyentuh perasaan pembaca. 
Pada kesempatan lain, karena masih kecil tentu saja, kami sering mengeluh mengapa sekolah kami tak seperti sekolah-sekolah lain. Terutama atap sekolah yang bocor dan sangat menyusahkan saat musim hujan. Beliau tak menganggapi keluhan itu tapi mengeluarkan sebuah buku berbahasa Belanda dan memperlihatkan sebuah gambar.
(Laskar Pelangi, halaman 30)
iii) Lintang merupakan seorang yang baik hati, bijak dalam pelajaran, serta seorang yang tidak sombong. Walaupun Lintang seorang yang pintar di dalam kelasnya, dia tidak sedikit pun mempunyai perasaan riak dengan apa-apa yang dimilikinya. Lintang mudah untuk memperoleh apa-apa yang dipelajari. Hal ini menimbulkan perasaan kagum dalam diri pembaca terhadap perwatakan Lintang. Perkara ini dapat dilihat melalui rangkap tersebut:
Jika kami kesulitan, ia mengajari kami dengan sabar dan selalu membesarkan hati kami. Keunggulannya tidak menimbulkan perasaan terancam bagi sekitarnya, kecemerlangannya tidak menerbitkan iri dengki, dan kehebatannya tidak sedikit pun mengisyaratkan sifat-sifat angkuh. Kami bangga dan jatuh hati padanya sebagai seorang sahabat dan sebagai seorang murid yang cerdas luar biasa. Lintang yang miskin duafa adalah mutiara, galena, kuarsa, dan topas yang paling berharga bagi kelas kami.
(Laskar Pelangi, halaman 83)
7.1.3       Keindahan Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pemikiran bermaksud perihal berfikir iaitu memikir. Melalui pembacaan sesebuah novel, kita akan mendapat pemikiran yang tinggi dan mempunyai falsafah dalam hidup. Teknik pemikiran yang berkesan akan membuat seorang pembaca mengingati dan menghargai kata-kata yang digunakan oleh pengarang.
i) Pengarang mengetengahkan isu mengenai pemimpin iaitu seorang pemimpin akan disoal di akhirat kelak sama ada dia merupakan seorang pemimpin yang bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan ataupun sebaliknya. Walaupun begitu, golongan yang dipimpin akan selalu mendoakan pemimpinnya. Begitulah nasihat yang diberikan oleh Bu Mus terhadap Kucai yang hampir setiap tahun menjadi ketua kelas bagi kelasnya.
Memegang amanah sebagai pemimpin memang berat tapi jangan khawatir orang yang akan mendoakan. Tidakkah Ananda sering mendengar di berbagai upacara petugas sering mengucap doa: Ya, Allah lindungilah para pemimpin kami? Jarang sekali kita mendengar doa: Ya Allah lindungilah anak-anak buah kami ...
(Laskar Pelangi, halaman 58)
ii) Mengikut kepercayaan pengamal ilmu buaya, apabila mereka mati, mereka turut akan menjadi buaya. Begitulah kepercayaan yang bermaharajalela dalam diri Bodenga. Bodenga mampu menundukkan seekor buaya dengan mudah. Buaya tersebut seakan-akan haiwan peliharaannya dan patuh kepada arahan.
“...Dia menyentuhnya! Menepuk-nepuk lembut kulitnya sambil mengumumkan sesuatu. Ganjil sekali, buaya itu seperti takluk, mengibas-ngibaskan ekornya laksana seekor anjing yang ingin mengambil hati tuannya, lalu mendadak sontak, dengan sebuah lompatan dahsyat seperti terbang reptil zaman Cretaceous itu terjun ke rawa menimbulkan suara laksana tujuh pohon kelapa tumbang sekaligus.
(Laskar Pelangi, halaman 69)
“... Orang-orang mundur melepaskan kayu bakar yang menyangga mulut buaya tersebut. Mereka faham bahwa penganut ilmu buaya percaya jika mati mereka akan menjadi buaya. Dan mereka maklum bahawa bagi Bodenga buaya ini adalah ayahnya kerana salah satu kaki buaya ini buntung. Bodengan menangis... Suaranya pedih memilukan.
(Laskar Pelangi, halaman 71)
7.1.4        Keindahan Imaginasi
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), imaginasi membawa maksud daya khayal, daya atau kemampuan menggambarkan (sesuatu) dalam angan-angan atau mencipta sesuatu secara khayalan.
i) Keindahan imaginasi yang dikatakan oleh pengarang memberi bayangan kepada pembaca mengenai wajah sebenar A Kiong. Pembaca akan membayangkan wajah seorang murid yang mempunyai wajah yang tidak begitu mendapat tempat di hati individu yang melihatnya. Petikan yang menceritakan mengenai wajah A Kiong ialah:
Tapi bila melihat A Kiong, siapa pun akan maklum kenapa nasibnya berakhir di SD kampung ini. Ia memang memiliki penampilan akan ditolak di mana-mana. Wajahnya seperti baru keluar dari bengkel ketok magic, alias menyerupai Frankenstein. Mukanya lebar dan berbentuk kotak, rambutnya serupa landak, matanya tertarik ke atas seperti sebilah pedang dan ia hampir tidak punya alis. Seluruh giginya tonggos dan hanya tinggal setengah akibat digerogoti phyrite Dan markacite dari air minum. Guru mana pun melihat wajahnya akan tertekan jiwanya membayangkan betapa susahnya menjejalkan ilmu ke dalam kepala aluminiumnya itu.”
(Laskar Pelangi, halaman 53 – 54)
7.1.5          Keindahan Wawasan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), wawasan ialah pandangan jauh terutama yang berkaitan dengan perkembangan masa depan bagi mencapai matlamat penting sesebuah organisasi atau negara. Menurut Mana Sikana, 2007 dalam Mohd Rashid Md. Idris et al. 2014, karya yang berwawasan akan membolehkan kita mendapatkan kesan atas wawasan yang dibinanya dalam teksnya itu. Watak-wataknya pun berwawasan, mempunyai cita-cita dan keazaman, serta pandai mengurus masa dan zaman; akhirnya ia menjadi watak yang berjaya. Kita sebagai pembacanya merasa keindahan pengalaman yang dibawakan wataknya. Keindahan dapat dilihat daripada pembentukan tekstual dan kontekstual, terutamanya aspek kebahasaannya jua.
i) Dalam rangkap yang terdapat dalam halaman 13 ini, pengarang telah menceritakan kesungguhan yang ditunjukkan oleh murid-murid yang baharu hari pertama mendaftar sesi persekolah mereka di SD muhammadiyah. Mereka menanam niat dan cita-cita untuk menuntut ilmu. Namun begitu, alangkah runtuhnya harapan dan cita-cita mereka apabila sekolah tersebut akan ditutup sekiranya bilangan pelajar tidak cukup sepuluh orang. Perkara ini dapat dilihat melalui:
Para orang tua mungkin menganggap kekurangan satu murid sebagai petanda bagi anak-anaknya bahwa mereka memang sebaiknya didaftarkan pada para juragan saja. Sedangkan aku dan agaknya juga anak-anak lain merasa pedih: pedih pada orang tua kami yang tak mampu, pedih menyaksikan detik-detik terakhir sebuah sekolah tua yang tuutp justru pada hari pertama kami ingin sekolah, dan pedih pada niat kuat kami untuk belajar tapi tinggal selangkah lagi harus terhenti hanya karena kekurangan satu murid. Kami menunduk dalam-dalam.
(Laskar pelangi, halaman 13)
ii) Bu Mus merupakan seorang guru yang mempunyai wawasan hidup. Perwatakan Bu Mus ataupun Ibu Muslimah ditonjolkan oleh pengarang dengan sifatnya yang begitu mencintai bidang pendidikan dengan merancang sendiri sukatan pelajaran untuk diajarkan dan mendidik sendiri anak bangsanya. Semangat yang ditonjolkan oleh pengarang begitu menyentuh pemikiran pembaca untuk lebih menghargai pendidikan yang diperoleh sepanjang menuntut ilmu walau di mana sahaja. Hal ini dapat dilihat melalui petikan tersebut:
Bu Mus adalah seorang guru yang pandai, karismatik, dan memiliki pandangan jauh ke depan. Beliau menyusun sendiri silabus pelajaran Budi Pekerti dan mengajarkan kepada kami sejak dini pandangan-pandangan dasar moral, demokrasi, hukum, keadilan, dan hak-hak asasi – jauh hari sebelum orang-orang sekarang meributkan soal materialisme versus pembangunan spiritual dalam pendidikan.
(Laskar Pelangi, halaman 30)
ii) Semangat untuk belajar dapat dilihat menerusi perwatakan Lintang yang tetap ingin ke sekolah walaupun terdapat seekor buaya telah menghalang jalan yang menjadi laluan Lintang untuk ke sekolah. Semangatnya tidak mudah rebah walaupun peristiwa ini merupakan sesuatu yang berbahaya kepada nyawanya. Petikan peristiwa tersebut adalah:
Tapi lebih setengah perjalanan sudah, aku tak ‘kan kembali pulang gara-gara buaya bodoh ini. Tak ada kata bolos dalam kamusku, dan hari ini ada tarikh Islam, mata pelajaran yang menarik. Ingin kudebatkan kisah ayat-ayat suci yang memastikan kemenangan Byzantium tujuh tahun sebelum kejadian. Sudah siang, aku maju sedikit, aku pasti terlambat tiba di sekolah.” Dua belas meter “Aku hanya sendirian. Jika ada orang lain aku berani lebig frontal. Tahukah hewan ini pentingnya pendidikan? Aku tak berani lebih dekat. Ia menganga dan bersuara rendah, suara dari perut yang menggetarkan seperti sendawa seekor singa atau seperti suara orang menggeser sebuah lemari yang sangat besar. Aku diam menunggu. Tak ada jalur alternatif dan kekuatan jelas tak berimbang. Aku mulai frustasi. Suasana sunyi senyap. Yang ada hanya aku, seekor buaya ganas yang egois, dan intaian maut.
(Laskar Pelangi, halaman 68)


7. 2            Kepengarangan
Kepengarangan pula dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang, ia harus berusaha membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing.
7.2.1          Monolog
Monolog berasal daripada perkataan Yunani yang terdiri dari mono beerti satu dan legein bererti berbicara. Oleh itu, monolog membawa maksud hanya seorang yang berbicara. Dalam novel ini, pengarang turut menggunakna unsur monolog dalam penulisan beliau. Berdasarkan petikan di bawah dapat dilihat watak Ikal iaitu aku dalam novel ini berbicara berseorangan di dalam hatinya.
“Kasihan ayahku ...
Maka aku tak sampai hati memandang wajahnya.
“Barangkali sebaiknya aku pulang saja, melupakan keinginan sekolah, dan mengikuti jejak beberapa abang dan sepupu-sepupuku, menjadi kuli ...”
(Laskar Pelangi, halaman 11)
7.2.2          Dialog
Dialog merupakan salah satu bentuk komunikasi interpersonal. Dialog berasal dari kata Yunani dia yang bererti antara, di antara dan legein yang bererti berbicara, bercakap-cakap, dan bertukar-tukar pemikiran. Dalam dialog, kedua-dua pihak terlibat dalam berbual antara satu sama lain. Melalui novel Laskar Pelangi, pengarang turut menggunakan dialog dalam penulisannya. antaranya ialah perbualan antara Pak Harfan iaitu pengetua sekolah SD Muhammadiyah dan Bu Mus.
“Kita tunggu sampai pukul sebelas,” kata Pak Harfan pada Bu Mus dan seluruh orang tua yang telah pasrah. Suasana hening.”
(Laskar Pelangi, halaman 11)
7.2.3     Bahasa Asing
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), bahasa asing ialah bahasa selain bahasa ibunda, ia dipelajari secara formal atau tidak formal. dalam novel ini turut digunakan bahasa asing iaitu bahasa Inggeris.
Kemudian kulihat lagi pria cemara angin itu. Melihat anaknya demikian berghairah ia tersenyum getir. Aku mengerti bahwa pira yang tak tahu tanggal dan bulan kelahirannya itu gamang membayangkan kehancuran hati anaknya jika sampai drop out saat kelas dua atau tiga SMP nanti karena alasan klasik: biaya atau tuntutan nafkah.
(Laskar pelangi, halaman 19)
7.2.4          Retorik Pemerian
Pemerian ialah teknik penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Retorik ini bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Retorik pemerian juga bertujuan untuk memberikan gambaran visual yang jelas kepada khalayak seperti dalam pelukisan. Dalam retorik tersebut, penghasil wacana memindahkan pengamatan dan pemerhatiannya kepada khalayak. Bahan yang dipindahkan termasuklah imej, hal fizikal, keadaan, perasaan, suasana, latar dan sebagainya.
      Berdasarkan teks, retorik pemerian jelas dilihat melalui penceritaan watak Harun. Melalui penggunaan retorik pemerian ini, pembaca dapat membayangkan keadaan dizikal Harun.
            “Kami serentak menoleh dan di kejauhan tampak seorang pria kurus tinggi berjalar terseok-seok. Pakaian dan sisiran rambutnya sangat rapi. Ia berkemeja lengan panjang putih yang dimasukkan ke dalam. Kaki dan langkahnya membentuk huruf x sehingga jika berjalan seluruh tubuhnya bergoyang-goyang hebat. seorang wanita gemuk setengah baya yang berseri-seri susah payah memeganginya. Pria itu adalah Harun, pria jenaka sahabat kami semua, yang sudah berusia lima belas tahun dan agak terbelakang mentalnya. Ia sangat gembira dan berjalan cepat setengah berlari rtak sabar menghampiri kami. Ia tak menghiraukan ibunya yang tercepuk-cepuk kewalahan menggandeng-nya.
(Laskar pelangi, halaman 14)
7.2.5          Unsur Pendidikan
Pendidikan merupakan sesuatu yang penting. Pendidikan ialah “usaha sistematik yang disengajakan, yang dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, usaha memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia”. Pengarang berusaha menerapkan unsur pendidikan dalam penulisan novel ini bagi menunjukkan pentingnya pendidikan dalam diri setiap individu. Walaupun mengalami kesukaran, pendidikan tetap diutamakan dalam kehidupan seharian mereka.
Lintang memang tak memiliki pengalaman emosional dengan Bodenga seperti yang aku alami, tapi bukan baru sekali itu ia dihadang buaya dalam perjalanan ke sekolah. Dapat dikatakan tak jarang Lintang mempertaruhkan nyawa demi menempuh pendidikan, namun tak sehari pun ia pernah bolos. Delapan puluh kilometer pulang pergi ditempuhnya dengan sepeda setiap hari. Tak pernbah mengeluh. Jika kegiatan sekolah berlangsung sampai sore, ia akan tiba malam hari di rumahnya.”
(laskar pelangi, halaman 71-72)
7.2.6          Unsur Keislaman
Islam merupakan kata nama yang berasal dari bahasa Arab aslama yang membawa maksud “untuk menerima, menyerah, atau tunduk”. Dengan demikian, Islam bererti penerimaan dari dan penundukan kepada tuhan, dan penganutnya harus menunjukkan ini dengan menyembahNya, menuruti perintahNya dan menghindari politheisme. Melalui novel ini, pengarang menerapkan unsur keislaman dalam watak-watak di dalam novel ini. Pengarang telah memberi pengetahuan kepada pembaca mengenai unsur-unsur keislaman. Walaupun mereka terdiri daripada masyarakat yang susah, pegangan agama dijadikan perkara yang penting dalam hidup mereka.
            “...Tiba-tiba aku merasa sangat beruntung didaftarkan orangtuaku di sekolah miskin Muhammadiyah. aku merasa lelah terselamatkan karena orang tuaku memilih sebuah sekolah Islam sebagai pendidikan paling dasar bagiku. Aku merasa amat beruntung berada di sini, di tengah orang-orang yang luar biasa ini. Ada kaindahan di sekolah Islam melarat ini. Keindahan yang tak ‘kan kutukar dengan seribu kemewahan sekolah lain.
(Laskar Pelangi, halaman 26)
            “Shalatlah tepat waktu, biar dapat pahala lebih banyak,” demikian Bu Mus selalu menasihati kami. Bukankah ini kata-kata yang diilhami surah An-Nisa dan telah diucapkan ratusan kali oleh puluhan khatib? Sering kali dianggap sambil lalu saja oleh umat. Tapi jika yang mengucapkannya Bu Mus kata-kata itu demikian berbeda, begitu sakti, berdengung-dengung di dalam kalbu. Yang terasa kemudian adalah penyesalan mengapa telah terlambat shalat.”
(Laskar Pelangi, halaman 30)
8.0       Seni Bahasa / Gaya Bahasa
Istilah Style (gaya bahasa) berasal daripada perkataan Latin yang mempunyai erti sesuatu alat untuk menulis di atas kertas (yang telah dilapisi)
            Soepomo Poedjosoedarmo menyatakan gaya bahasa sebagai salah satu variasi bahasa yang termasuk ragam dalam cerita dengan menggunakan suasana indah. Kesimpulannya, gaya bahasa menekankan gaya bahasa yang sama ada secara jelas atau terlindung penggunaannya.
            Menurut Hashim Awang, gaya bahasa adalah cara penggunaan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga mempunyai sifat kepada pengarang dalam menyampaikan fikiran atau tujuannya.
            Berikut adalah analisis gaya bahasa yang terdapat dalam novel Laskar Pelangi.
8.1       Gaya Bahasa Perbandingan
i)    Metafora
Metafora merupakan majaz yang membandingkan suatu benda dengan benda lain. Benda yang diperbandingkan itu mempunyai sifat yang sama. Contohnya,
Dewi malam telah keluar dari peradaannya (dewi malam = bulan)
ii)   Personifikasi
Merupakan majaz yang menerapkan sifat-sifat manusia terhadap benda mati. Contoh:
Saat kumelihat rembulan, dia seperti tersenyum kepadaku seakan-akan aku merayunya.
iii)  Asosiasi
Gaya bahasa ini memberikan perbandingan terhadap sesuatu benda yang sudah disebutkan. Perbandingan itu menimbulkan asosiasi terhadap benda sehingga gambaran tentang benda atau hal yang disebutkan itu menjadi lebih jelas. Contoh:
Semangatnya keras bagai baja.
iv)  Metonomia
Apabila sepatah kata atau sebuah nama yang berasosiasi dengan suatu benda digunakan untuk menggantikan benda yang dimaksud. Contoh-contoh:
Ayah selalu mengisap Djarum Super (Djarum Super adalah rokok). Mengisap Djarum Super artinya mengisap rokok merk Djarum Super.
v)   Litotes
Apabila kita menggunakan kata yang berlawanan ertinya dengan membawa maksud dengan merendahkan diri terhadap orang yang berbicara. Contoh:
Sekali-kali datanglah ke gubuk reyotku.
vi)  Hiperbola
Adalah sepatah kata yang diganti dengan kata lain yang memberikan pengertian lebih melampau daripada kata lain. Contoh:
Harga-harga sudah meroket.
vii) Antonomasia
Majaz perbandingan yang menyebutkan sesuatu bukan dengan nama asli dari benda tersebut, melainkan dari salah satu sifat benda tersebut. Contoh-contoh:
Hei Jangkung!
8.2       Gaya Bahasa Sindiran
i)    Ironi
Ialah salah satu majaz sindiran yang dikatakan sebaliknya dari apa yang sebenarnya dengan bermaksud menyindir orang dan diungkapkan secara halus. Contoh:
Hambur-hamburkan terus uangmu itu agar bias menjadi jutawan.
ii)   Sarkasme
Gaya bahasa sindiran yang terkasar digunakan untuk memaki orang dengan kata-kata kasar dan tidak sopan. Contoh:
Soal semudah ini saja tidak bisa dikerjakan. Goblok kau!
8.3       Gaya Bahasa Penegasan
i)    Pleonasme
Menambahkan keterangan pada pernyataan yang sudah jelas atau menambahkan keterangan yang sebenarnya tidak diperlukan. Contoh-contoh:
Dia turun ke bawah – Dia turun
Dia naik ke atas –Dia naik


ii)   Paralelisme
Pengulangan kata-kata untuk menegaskan yang terdapat dalam puisi. Apabila kata yang diulang pada awal perkataan dinamakan anafora, dan jika terdapat pada akhir perkataan dinamakan epifora. Contoh:
Kau berkertas putih
Kau bertinta hitam
iii)  Interupsi
Gaya bahasa penegasan yang mempergunakan sisipan di tengah-tengah perkataan utama dengan maksud untuk menjelaskan sesuatu dalam perkataan tersebut. Contoh:
Tiba-tiba Ia kekasih itu direbut oleh perempuan lain.
iv)  Retoris
Gaya bahasa penegasan ini menggunakan kalimat Tanya – tidak - bertanya. Menyatakan kesangsian atau bersifat mengejek. Contoh:
Mana mungkin orang mati hidup lagi?!
v)   Koreksio
Digunakan untuk membetulkan semula perkara yang salah diujarkan sama ada secara sengaja ataupun tidak. Contoh:
Gedung Sate berada di Kota Jakarta. Eh, bukan, Gedung Sate berada di Kota Bandung.
vi)  Asindeton
Beberapa keadaan atau benda yang disebutkan secara berturut-turut tanpa menggunakan kata penghubung. Contoh:
Meja, kursi, lemari ditangkubkan dalam kamar itu.


8.4       Gaya Bahasa Pertentangan
i)    Paradoks
Majaz yang menggambarkan seolah-olah ada pertentangan. Contoh:
Gajinya besar, tapi hidupnya melarat.
Ertinya, wang cukup, tetapi jiwanya menderita.
ii)   Antitesis
Majaz pertentangan yang menggunakan  kata yang berlawanan erti. Contoh:
Tua muda, besar kecil, semuanya hadir di tempat itu.

9.0       Kesimpulan

Melalui kajian yang dilakukan terhadap novel Laskar Pelangi, terdapat pelbagai ilmu yang telah dipelajari daripadanya. Pelbagai isi dan mesej yang disampaikan melalui pembacaan novel ini. Karya hebat ini memberi banyak pengajaran kepada seluruh pembacanya. Kita seharusnya menghargai nikmat pemberian tuhan kepada kita. Namun begitu sebagai seorang manusia yang kerdil, kita haruslah berusaha dalam setiap apa yang kita ceburi. Kejayaan seseorang bergantung pada sikap individu itu sendiri. Jika rajin berusaha, maka kejayaan akan mudah dicapai. Kemiskinan bukan penghalang untuk seseorang memperoleh pendidikan. Motivasi yang ditonjolkan melalui penceritaan kisah-kisah yang begitu dikagumi di dalam novel ini mampu mengubah pemikiran pembaca untuk tidak mudah putus asa dalam kehidupan. 

No comments:

Post a Comment