Wednesday 20 May 2015

Gurindam 12, Raja Ali Haji “Falsafah dan Pemikiran dan Kepengarangan dan Estetika”

1.0       Pendahuluan
Kajian ini dibuat ke atas teks Gurindam Dua Belas iaitu hasil karya Raja Ali Haji, seorang tokoh ssterawan Indonesia. Gurindam Dua Belas dilihat sebagai sebuah teks karya sastera. Objektif kajian adalah untuk melihat falsafah dan pemikiran Raja Ali Haji yang sebenar serta mengkaji mesej dan pengajaran dalam Gurindam Dua Belas. Gabungan kaedah kajian dalaman tersurat dan kaedah kajian dalaman tersirat untuk mengenali keperibadian pengkaryanya iaitu Raja Ali Haji melalui teks Gurindam Dua Belas. Di samping itu, Gurindam Dua Belas Berperanan sebagai teks yang membicarakan aspek keilmuan dan pengajaran dalam Islam iaitu mengenai akidah, syariat, akhlak serta ilmu tasawuf, manakala sumbangan Gurindam sebagai sumber hiburan, sumber ilmu (sosiobudaya, sosioekonomi, sosiopolitik dan agama) bagi mempertajam minda. Teks Gurindam Dua Belas dikaji secara Kualitatif kepada mesej dalam gurindam dua belas seperti nilai-nilai murni, pemikiran falsafah dan juga aspek gaya bahasa. Semua data dan maklumat yang diperolehi dihuraikan secara diskriptif. Semasa mentafsir dan menilai teks Gurindam Dua Belas iaitu untuk melihat kepengarangan dan estetika serta mengenali diri pengkaryanya bagi mengesan mesej dari aspek ilmu agama, nilai-nilai murni, pemikir dan falsafah yang tersurat serta tersirat. Maklumat dan data diperoleh dengan kaedah kajian kepustakaan dan kajian teks. Kajian kepustakaan merujuk kepada buku-buku, tesis, kertas kerja dan jurnal yang memperkatakan tentang puisi tradisional dan Gurindam Dua Belas sebagai sorotan kajian.

1.1       Latar Belakang Penulis
Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, merupakan salah seorang tokoh pujangga Melayu yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan di Pulau Penyengat, Riau. Beliau merupakan cucu kepada Raja Haji, atau lebih dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang yang syahid di Melaka sewaktu berperang menentang Belanda. Salasilah beliau kemudiannya disusurgalurkan lagi hingga kepada Daeng Chelak, salah seorang daripada lima daeng yang memainkan peranan penting dalam sistem politik di bahagian Barat alam Melayu suatu ketika dahulu (Mohd Taib Osman 1976). Pengaruh dan ketokohan beliau dalam bidang keilmuan bermula semenjak kecil lagi apabila beliau mendalami ilmu bahasa dan keagamaan di Mekah. Pada zaman pemerintahan Raja Ali, beliau memainkan peranan sebagai perdana menteri dan penasihat agama, sesuai dengan kebolehan beliau yang menguasai ilmu nahu, usuluddin, fiqh, dan tasauf (Mohd Pozi Haji Masurori 1997). Dalam bidang penulisan pula, Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus, sebaliknya hanya dianggap  sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian. Selain itu, beliau juga merupakan pengarang Melayu pertama yang mengaplikasikan sistem pentarikhan ke dalam karya secara tepat dan jelas.
Kehebatan Raja Ali Haji sebagai tokoh pujangga Melayu juga terserlah melalui hasil tulisannya yang pelbagai. Kearifan beliau tidak sekadar terhad dalam bidang agama semata-mata, sebaliknya beliau turut berkarya dalam lapangan disiplin ilmu yang lain seperti bahasa, sejarah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang dihasilkan oleh beliau termasuklah Syair Sultan Abdul Muluk(1847), Bustan Al-Katibin (1851), Thamarat Al-Muhimmah (1857), Mukaddimah Fi-Intizam (1857),Ikat-ikatan Dua Belas Puji (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1858), Gurindam Dua Belas (1864),Silsilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat Al-Nafis (1865).  Dalam himpunan karya-karya tersebut,Tuhfat Al-Nafis merupakan karya yang amat terkenal,. Karya tersebut dilihat begitu identik dengan diri beliau malah memainkan peranan sebagai magnum opus atau karya agung yang pernah dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Namun demikian, Gurindam Dua Belas turut mempunyai mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Meskipun dalam bentuknya yang ringkas, kelebihan Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang tinggi. Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu bahasa Arab (Shafie Abu Bakar 1996).


1.2       Gurindam 12
Gurindam 12 merupakan salah satu hasil penulisan Raja Ali Haji yang sangat terkenal. Gurindam ini ditulis oleh beliau pada tahun 1864.
            Raja Ali Haji menulis Gurindam 12 berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya. Kumpulan gurindam ini terdiri dari dua belas fasal, berkaitan tentang ibadah, kewajiban raja, kewajiban anak, kewajiban orang tua, budi pekerti, dan hidup bermasyarakat. Gurindam Dua Belas dapat dikatakan berisi nasihat Raja Ali Haji untuk rakyatnya khususnya dan pembaca umumnya.
            Berikut merupakan perkara yang terkandung dalam Gurindam 12:
Gurindam I
Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang yang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,tahulah Ia dunia mudarat.

Gurindam II
Barang siapa mengenal yang tersebut,tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,tiadalah ia menyempurnakan janji.

Gurindam III
Apabila terpelihara mata,sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,keluarlah fi'il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat,di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,daripada berjaian yang membawa rugi.

Gurindam IV
Hal kerajaan di dalam tubuh,jikalau alim segala anggotapun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,mulutnya itu umpama ketur2.
Di mana tahu salah diri,jika tidak orang lain yang berperi.

Gurindam V
Jika hendak mengenai orang berbangsa,lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Gurindam VI
Cahari olehmu akan sahabat,yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,yang ada baik sedikit budi,

Gurindam VII
Apabila banyak berkata-kata,di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,I'ika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,tidak boleh orang berbuat onar.

Gurindam VIII
Barang siapa khianat akan dirinya,apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,biar dan pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,setengah daripada syarik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,kebalikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,keaiban diri hendaklah sangka.

Gurindam IX
Tahu pekerjaan tak baik,tetapi dikerjakan,bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,itulah iblis punya penggawa.
Kepada segaia hamba-hamba raja,di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,dengan syaitan jadi berseteru.

Gurindam X
Dengan bapa jangan durhaka,supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa,supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.

Gurindam XI
Hendaklah berjasa,kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,buanglah khianat.
Hendak marah,dahulukan hajat.
Hendak dimulai,jangan melalui.
Hendak ramai,murahkan perangai.


Gurindam XII
Ini gurindam pasal yang kedua belas:
Raja muafakat dengan menteri,seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,tanda raja beroleh anayat.
Kasihan orang yang berilmu,tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,kepada hati yang tidak buta.


2.0       Falsafah dan Idealisme
Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera, iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558). Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.Maksud falsafah pula, ia dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.
      Kedua-dua elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan kehendak pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga menerapkan kedua-dua elemen ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.
      Jelaslah bahawa penerapan idelisme dan falsafah dalam sesuatu karya agung amat diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung. Dalam pembicaraan yang dilaksanakan tertumpu kepada empat, iaitu idealisme bersumberkan alam, falsafah bahasa, falsafah Islam dan falsafah Melayu.

2.1       Falsafah dan Idealisme Penulis Berkaitan Etika
Analisis dalam Gurindam 12 Karya Raja Ali Haji banyak mengetengahkan hal-hal berkaitan etika. Menurut Mohd Rashid Md. Idris et. al (2014) Etika merupakan bidang pemikiran berkaitan moral, pendidikan dan pengajaran. Hal ini bermaksud, falsafah penulis dalam gurindamnya banyak menasihati pembaca atau pendengarnya supaya mementingkan nilai etika dalam kehidupan. Sebagai contoh boleh dilihat dalam gurindam fasal yang kelima seperti di bawah:
Gurindam V
Jika hendak mengenai orang berbangsa,lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.
                                                                        (Gurindam 12, 1864:  fasal kelima)
Berdasarkan Gurindam 12 fasal kelima, Raja Ali Haji banyak mengetengahkan idealisme beliau mengenai nilai etika seperti mencontohi orang yang berbudi bahasa, mencontohi kelakuan yang mulia, menjadi orang yang berilmu dan menjadi orang yang baik. Hal ini bermaksud terdapat banyak perkara dalam gurindam ini berkaitan dengan moral. Oleh hal yang demikian jelas dapat dilihat falsafah pemikiran Raja Ali Haji dalam Gurindam 12 mengajarkan hal-hal berkaitan dengan etika.

2.2       Falsafah dan Idealisme Penulis Berkaitan Sosial
Raja Ali Haji juga dilihat meletakkan pemikirannya dalam penulisan gurindamnya berkaitan sosial. Sosial di sini bermaksud, gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual Mohd Rashid Md. Idris et. al (2014). Sosial juga dalam erti kata lain dalam lingkungan kita hidup bermsyarakat dan kita hidup bergaul dengan orang lain. Oleh hal yang demikian, seharusnya apabila hidup bermsyarakat harus menjaga kelakuan, tatasusila,menghormati dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat dalam gurindam fasal ke empat di bawah:
Hal kerajaan di dalam tubuh,jikalau alim segala anggota pun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,mulutnya itu umpama ketur2.
Di mana tahu salah diri,jika tidak orang lain yang berperi.
                                                                        (Gurindam 12, 1864 : Fasal keempat)
Berdasarkan gurindam fasal ke empat di atas, penulis banyak menyentuh berkaitan etika supaya menjaga maruah diri, tidak menjadi seorang yang suka cemburu atau dengki dengan kelebihan orang lain. Selain itu, penulis juga menyeru supaya tidak menjadi orang yang suka mengumpat atau mudah lupa diri apabila dipuji. Penulis juga melarang perbuatan buruk seperti cepat marah, kerana apabila amarah menguasai diri, tindakan bodoh pasti akan dilakukan seperti orang yang hilang akal. Penulis juga menyentuh tentang sifat suka berbohong, jangan bersikap kedekut serta jangan menjadi orang yang mudah lupa diri sekiranya telah menjadi orang berada atau menjadi orang yang berjaya. Penulis juga menyeru supaya jangan bercakap perkara yang kotor mengutuk atau mengeji orang lain.
            Berdasarkan maksud gurindam yang dianalisis, jelaslah menunjukkan bahawa Raja Ali Haji banyak menekankan hal-hal hidup bersosial dalam masyarakat yang harus dijaga.

2.3       Falsafah dan Idealisme Penulis Berkaitan Politik
Aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara

Raja muafakat dengan menteri,seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,tanda raja beroleh anayat.
Kasihan orang yang berilmu,tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,kepada hati yang tidak buta.
                                                            (Gurindam 12, 1864:fasal yang kedua belas)
Berdasarkan Gurindam 12 fasal kedua belas, didapati Raja Ali Haji turut menyentuh hal berkaitan Raja dan juga rakyat. Dalam gurindam ini penulis memberikan nasihat supaya raja haruslah bekerjasama dengan menteri manakala menteri pula haruslah setia melaksanakan tugasan dan patuh kepada raja. Raja juga disuruh supaya adil terhadap rakyat, mengasihi orang yang berilmu, menghormati orang yang pandai.
            Oleh hal yang demikian, jelaslah juga bahawa dalam Gurindam 12 karya Raja Ali Haji ini, menunjukkan juga bahawa ada pemikiran penulis berkaitan hal-hal politik terutamanya kepada pemimpin supaya menjadi pemimpin yang baik.

3.0       Kepengarangan dan Estetika
Estetika atau keindahan adalah suatu sifat dan ciri sastera yang terpenting. Menurut  Mohd Rashid Md. Idris et. al (2014) perkataan sastera berasal daripada perkataan Sanskrit yang merujuk kepada karya yang indah. Estetika ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang dapat menawan perasaan dan terpahat dalam fikiran. Keindahan ialah daya tarikan dalam penikmatan karya sastera terhadap aspek susunan unsur struktur yang harmonis yang memiliki perasaan, pemikiran dan sebagainya.
Pengalaman keindahan ialah apabila kita merasa kesan yang menarik,mengkagumkan, menyedihkan atau yang memeranjatkan.Kekuatan olahan bererti kekuatan teknik dan pencernaan pelbagai aspek dan kompenan yang membina sebuah karya.
Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah mengenai akidah dan tasauf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna. Hal ini semua berkaitan kepengarangan Raja Ali Haji.
Antara contoh yang menunjukkan terkandungnya keindahan Islam yang terdapat dalam Gurindam 12, adalah seperti di bawah:

Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang yang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,tahulah Ia dunia mudarat.
(Gurindam 12, 1864:fasal yang pertama)


Barang siapa mengenal yang tersebut,tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,tiadalah ia menyempurnakan janji.
(Gurindam 12, 1864:fasal yang kedua )

Dalam Gurindam 12 fasal pertama dan fasal kedua ini, sememangnya jelas menunjukkan bahawa penulis menggunakan bahasa yang indah dan tidak menyentuh hal-hal yang sensitif apabila penulis menasihati hal-hal berkaitan agama Islam. Dalam ayat yang indah, menarik dan ringkas, memudahkan pembaca atau pendengar memahami perkara yang ingin disampaikan dalam Gurindam ini. Dalam rangkap pertama gurindam ini, penulis menyuruh supaya masyarakat haruslah berpegang teguh kepada agama dan apabila hidup mengenali tuhan, sudah pasti memperoleh keberkatan, hidup haruslah mengenali diri supaya kita mengingati pencipta. Selain itu, Raja Ali haji juga menyatakan sesiapa yang tahu bahawa dunia yang sebenar-benarnya hanyalah tempat yang penuh tipu daya dan haruslah mengetahui tentang akhirat kerana dunia hanyalah tempat singgahan sementara.
            Dalam Gurindam 12 fasal kedua pula Raja Ali Haji menyatakan tentang kewujudan Allah. Sesungguhnya Allah itu wujud, dan haruslah kita berasa takut untuk melakukan dosa. Penulis juga menyentuh tentang rukun Islam supaya tidak meninggalkan solat kerana sembahyang merupakan tiang agama. Begitu juga dengan puaa haruslah tidak ditinggalkan, mengeluarkan zakat serta menunaikan haji.
            Oleh itu, jelaslah bahawa dalam kedua-dua rangkap yang terkandung dalam Gurindam 12 ini, penulis menyentuh hal berkaitan agama Islam dalam kepengarangannya tentang agama yang disebarkan sebagai pesanan kepada masyarakat dalam bentuk gurindam.
Raja Ali Haji juga menyentuh nilai berkaitan akhlak diri atau akidah dalam gurindamnya. Berikut merupakan gurindam yang mengandungi hal tersebut:


Apabila terpelihara mata,sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,keluarlah fi'il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat,di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,daripada berjaian yang membawa rugi.
(Gurindam 12, 1864:fasal yang ketiga )

Apabila banyak berkata-kata,di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,I'ika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,tidak boleh orang berbuat onar.
(Gurindam 12, 1864:fasal yang ketujuh)

Dalam Gurindam 12 fasal ketiga dan ketujuh karya Raja Ali Haji ini jelas menunjukkan bahawa beliau menyentuh hal-hal keperibadian, akhlak dan akidah yang harus ada dalam diri manusia. Raja Ali Haji menasihati masyarakat dengan gaya yag indah dalam kepengarangannya serta dengan bahasa kiasan yang mudah menyebabkan pembaca atau pendengar tidak merasakan bahawa nasihat ini diberikan secara kasar atau berlebih-lebihan. Dalam fasal ketiga Gurindam 12 ini, penulis menyatakan tentang kepentingan menjaga mata, telinga, lidah, tangan,perut, hati dan kaki. Kesemua anggota badan ini haruslah dijaga sebaiknya supaya tidak melakukan hal-hal yang boleh merosakkan akhlak dan akidah seseorang itu. kepentingan menjaga mata supaya tidak melihat perkara yang tidak baik akan membatasi kita dari melakukan keburukan, begitu juga dengan hal menjaga telinga dan lidah daripada mendengar perkara serta berkata tentang perkara yang tidak baik seperti mendengar orang mengumpat atau mengumpat tentang keburukan orang lain.
Dalam fasal ketujuh Gurindam 12 ini pula, Raja Ali Haji menyentuh hal berkaitan akhlak sepertimana dalam Gurindam 12 fasal ketiga. Penulis menasihati supaya diri pembaca atau pendengar tidak banyak berkata-kata hal yang sia-sia kerana orang yang banyak bercakap selalunya dusta. Penulis juga menasihati supaya tidak berlebihan apabila ketawa kerana pasti akan ada kesedihan yang menyebabkan kita akan menangis pula. Selain itu, penulis menyentuh tentang jangan mencela orang, jangan tidur berlebihan, jangan bertingkah-laku kasar kerana semua perbuatan itu adalah tidak baik dan mengundang kebencian orang terhadap diri.
Oleh hal yang demikian, jelaslah dari sudut kepengarangan penulis menyentuh hal berkaitan akidah atau akhlak.

4.0       Kesimpulan
Gurindam 12 karya Raja Ali Haji adalah salah satu naskah Nusantara yang sangat bernilai kepada masyarakat. Kumpulan gurindam ini merupakan salah satu bentuk penyebaran ilmu oleh  Raja Ali Haji. Beliau  memberikan bimbingan moral yang berkaitan agama pada rakyatnya melalui karyanya ini. Tanpa meningggalkan keindahannya sebagai karya sastera, Gurindam 12 memberikan ajaran dan nasihat tentang ibadah, kewajiban raja, kewajiban anak, kewajiban orang tua, budi pekerti, dan hidup bermasyarakat yang dapat dijadikan pedoman hidup semua golongan dalam masyarakat. Gurindam Dua Belas merupakan pusaka bangsa Melayu yang perlu dilestarikan. Naskah Gurindam Dua Belas mencirikan kebudayaan bangsa Melayu yang sangat memegang teguh nilai-nilai agama/religius, nilai moral, nilai keindahan, dan nilai kebenaran/ keyakinan. Oleh itu, keadaan ini menunjukkan  keteguhan nilai ini sudah dipesan atau disampaikan sejak beratus tahun yang lalu. walaupun nilai-nilai tersebut sudah mulai pudar bahkan mulai hilang dari diri bangsa Melayu, keadaan ini merupakan kewajiban kita bersama untuk terus saling mengingatkan jika ada kesalahan yang dilakukan oleh anggota masyarakat yang lain.


Rujukan

Azhar Hj. Wahid dan Zawawi Jahya. (2012). Pendidikan Pembangunan Modal Insan.
            Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2011). Kualau Lumpur: Dewan  Bahasa dan Pustaka.

Koentjaraningrat. (2003) Pengantar Antropologi I. Jakarta: Rineka Cipta

Mohd Rashid Md. Idris, Sri Lanang Jaya Hj. Rohani et. al. (2014). Karya Agung
            Melayu.Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mu’jizah dan Maria Indra Rukmi. (1998)  Penelusuran Penyalinan Naska Naskah Riau
            Abad XIX: Sebuah Kajian Kodikologi. Jakarta: FSUI.




No comments:

Post a Comment