Wednesday, 20 May 2015

Gurindam 12, Raja Ali Haji “Falsafah dan Pemikiran dan Kepengarangan dan Estetika”

1.0       Pendahuluan
Kajian ini dibuat ke atas teks Gurindam Dua Belas iaitu hasil karya Raja Ali Haji, seorang tokoh ssterawan Indonesia. Gurindam Dua Belas dilihat sebagai sebuah teks karya sastera. Objektif kajian adalah untuk melihat falsafah dan pemikiran Raja Ali Haji yang sebenar serta mengkaji mesej dan pengajaran dalam Gurindam Dua Belas. Gabungan kaedah kajian dalaman tersurat dan kaedah kajian dalaman tersirat untuk mengenali keperibadian pengkaryanya iaitu Raja Ali Haji melalui teks Gurindam Dua Belas. Di samping itu, Gurindam Dua Belas Berperanan sebagai teks yang membicarakan aspek keilmuan dan pengajaran dalam Islam iaitu mengenai akidah, syariat, akhlak serta ilmu tasawuf, manakala sumbangan Gurindam sebagai sumber hiburan, sumber ilmu (sosiobudaya, sosioekonomi, sosiopolitik dan agama) bagi mempertajam minda. Teks Gurindam Dua Belas dikaji secara Kualitatif kepada mesej dalam gurindam dua belas seperti nilai-nilai murni, pemikiran falsafah dan juga aspek gaya bahasa. Semua data dan maklumat yang diperolehi dihuraikan secara diskriptif. Semasa mentafsir dan menilai teks Gurindam Dua Belas iaitu untuk melihat kepengarangan dan estetika serta mengenali diri pengkaryanya bagi mengesan mesej dari aspek ilmu agama, nilai-nilai murni, pemikir dan falsafah yang tersurat serta tersirat. Maklumat dan data diperoleh dengan kaedah kajian kepustakaan dan kajian teks. Kajian kepustakaan merujuk kepada buku-buku, tesis, kertas kerja dan jurnal yang memperkatakan tentang puisi tradisional dan Gurindam Dua Belas sebagai sorotan kajian.

1.1       Latar Belakang Penulis
Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, merupakan salah seorang tokoh pujangga Melayu yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan di Pulau Penyengat, Riau. Beliau merupakan cucu kepada Raja Haji, atau lebih dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang yang syahid di Melaka sewaktu berperang menentang Belanda. Salasilah beliau kemudiannya disusurgalurkan lagi hingga kepada Daeng Chelak, salah seorang daripada lima daeng yang memainkan peranan penting dalam sistem politik di bahagian Barat alam Melayu suatu ketika dahulu (Mohd Taib Osman 1976). Pengaruh dan ketokohan beliau dalam bidang keilmuan bermula semenjak kecil lagi apabila beliau mendalami ilmu bahasa dan keagamaan di Mekah. Pada zaman pemerintahan Raja Ali, beliau memainkan peranan sebagai perdana menteri dan penasihat agama, sesuai dengan kebolehan beliau yang menguasai ilmu nahu, usuluddin, fiqh, dan tasauf (Mohd Pozi Haji Masurori 1997). Dalam bidang penulisan pula, Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus, sebaliknya hanya dianggap  sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian. Selain itu, beliau juga merupakan pengarang Melayu pertama yang mengaplikasikan sistem pentarikhan ke dalam karya secara tepat dan jelas.
Kehebatan Raja Ali Haji sebagai tokoh pujangga Melayu juga terserlah melalui hasil tulisannya yang pelbagai. Kearifan beliau tidak sekadar terhad dalam bidang agama semata-mata, sebaliknya beliau turut berkarya dalam lapangan disiplin ilmu yang lain seperti bahasa, sejarah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang dihasilkan oleh beliau termasuklah Syair Sultan Abdul Muluk(1847), Bustan Al-Katibin (1851), Thamarat Al-Muhimmah (1857), Mukaddimah Fi-Intizam (1857),Ikat-ikatan Dua Belas Puji (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1858), Gurindam Dua Belas (1864),Silsilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat Al-Nafis (1865).  Dalam himpunan karya-karya tersebut,Tuhfat Al-Nafis merupakan karya yang amat terkenal,. Karya tersebut dilihat begitu identik dengan diri beliau malah memainkan peranan sebagai magnum opus atau karya agung yang pernah dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Namun demikian, Gurindam Dua Belas turut mempunyai mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Meskipun dalam bentuknya yang ringkas, kelebihan Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang tinggi. Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu bahasa Arab (Shafie Abu Bakar 1996).


1.2       Gurindam 12
Gurindam 12 merupakan salah satu hasil penulisan Raja Ali Haji yang sangat terkenal. Gurindam ini ditulis oleh beliau pada tahun 1864.
            Raja Ali Haji menulis Gurindam 12 berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya. Kumpulan gurindam ini terdiri dari dua belas fasal, berkaitan tentang ibadah, kewajiban raja, kewajiban anak, kewajiban orang tua, budi pekerti, dan hidup bermasyarakat. Gurindam Dua Belas dapat dikatakan berisi nasihat Raja Ali Haji untuk rakyatnya khususnya dan pembaca umumnya.
            Berikut merupakan perkara yang terkandung dalam Gurindam 12:
Gurindam I
Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang yang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,tahulah Ia dunia mudarat.

Gurindam II
Barang siapa mengenal yang tersebut,tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,tiadalah ia menyempurnakan janji.

Gurindam III
Apabila terpelihara mata,sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,keluarlah fi'il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat,di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,daripada berjaian yang membawa rugi.

Gurindam IV
Hal kerajaan di dalam tubuh,jikalau alim segala anggotapun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,mulutnya itu umpama ketur2.
Di mana tahu salah diri,jika tidak orang lain yang berperi.

Gurindam V
Jika hendak mengenai orang berbangsa,lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Gurindam VI
Cahari olehmu akan sahabat,yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,yang ada baik sedikit budi,

Gurindam VII
Apabila banyak berkata-kata,di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,I'ika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,tidak boleh orang berbuat onar.

Gurindam VIII
Barang siapa khianat akan dirinya,apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,biar dan pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,setengah daripada syarik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,kebalikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,keaiban diri hendaklah sangka.

Gurindam IX
Tahu pekerjaan tak baik,tetapi dikerjakan,bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,itulah iblis punya penggawa.
Kepada segaia hamba-hamba raja,di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,dengan syaitan jadi berseteru.

Gurindam X
Dengan bapa jangan durhaka,supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa,supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.

Gurindam XI
Hendaklah berjasa,kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,buanglah khianat.
Hendak marah,dahulukan hajat.
Hendak dimulai,jangan melalui.
Hendak ramai,murahkan perangai.


Gurindam XII
Ini gurindam pasal yang kedua belas:
Raja muafakat dengan menteri,seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,tanda raja beroleh anayat.
Kasihan orang yang berilmu,tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,kepada hati yang tidak buta.


2.0       Falsafah dan Idealisme
Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera, iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558). Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.Maksud falsafah pula, ia dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.
      Kedua-dua elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan kehendak pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga menerapkan kedua-dua elemen ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.
      Jelaslah bahawa penerapan idelisme dan falsafah dalam sesuatu karya agung amat diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung. Dalam pembicaraan yang dilaksanakan tertumpu kepada empat, iaitu idealisme bersumberkan alam, falsafah bahasa, falsafah Islam dan falsafah Melayu.

2.1       Falsafah dan Idealisme Penulis Berkaitan Etika
Analisis dalam Gurindam 12 Karya Raja Ali Haji banyak mengetengahkan hal-hal berkaitan etika. Menurut Mohd Rashid Md. Idris et. al (2014) Etika merupakan bidang pemikiran berkaitan moral, pendidikan dan pengajaran. Hal ini bermaksud, falsafah penulis dalam gurindamnya banyak menasihati pembaca atau pendengarnya supaya mementingkan nilai etika dalam kehidupan. Sebagai contoh boleh dilihat dalam gurindam fasal yang kelima seperti di bawah:
Gurindam V
Jika hendak mengenai orang berbangsa,lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.
                                                                        (Gurindam 12, 1864:  fasal kelima)
Berdasarkan Gurindam 12 fasal kelima, Raja Ali Haji banyak mengetengahkan idealisme beliau mengenai nilai etika seperti mencontohi orang yang berbudi bahasa, mencontohi kelakuan yang mulia, menjadi orang yang berilmu dan menjadi orang yang baik. Hal ini bermaksud terdapat banyak perkara dalam gurindam ini berkaitan dengan moral. Oleh hal yang demikian jelas dapat dilihat falsafah pemikiran Raja Ali Haji dalam Gurindam 12 mengajarkan hal-hal berkaitan dengan etika.

2.2       Falsafah dan Idealisme Penulis Berkaitan Sosial
Raja Ali Haji juga dilihat meletakkan pemikirannya dalam penulisan gurindamnya berkaitan sosial. Sosial di sini bermaksud, gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual Mohd Rashid Md. Idris et. al (2014). Sosial juga dalam erti kata lain dalam lingkungan kita hidup bermsyarakat dan kita hidup bergaul dengan orang lain. Oleh hal yang demikian, seharusnya apabila hidup bermsyarakat harus menjaga kelakuan, tatasusila,menghormati dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat dalam gurindam fasal ke empat di bawah:
Hal kerajaan di dalam tubuh,jikalau alim segala anggota pun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,mulutnya itu umpama ketur2.
Di mana tahu salah diri,jika tidak orang lain yang berperi.
                                                                        (Gurindam 12, 1864 : Fasal keempat)
Berdasarkan gurindam fasal ke empat di atas, penulis banyak menyentuh berkaitan etika supaya menjaga maruah diri, tidak menjadi seorang yang suka cemburu atau dengki dengan kelebihan orang lain. Selain itu, penulis juga menyeru supaya tidak menjadi orang yang suka mengumpat atau mudah lupa diri apabila dipuji. Penulis juga melarang perbuatan buruk seperti cepat marah, kerana apabila amarah menguasai diri, tindakan bodoh pasti akan dilakukan seperti orang yang hilang akal. Penulis juga menyentuh tentang sifat suka berbohong, jangan bersikap kedekut serta jangan menjadi orang yang mudah lupa diri sekiranya telah menjadi orang berada atau menjadi orang yang berjaya. Penulis juga menyeru supaya jangan bercakap perkara yang kotor mengutuk atau mengeji orang lain.
            Berdasarkan maksud gurindam yang dianalisis, jelaslah menunjukkan bahawa Raja Ali Haji banyak menekankan hal-hal hidup bersosial dalam masyarakat yang harus dijaga.

2.3       Falsafah dan Idealisme Penulis Berkaitan Politik
Aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara

Raja muafakat dengan menteri,seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,tanda raja beroleh anayat.
Kasihan orang yang berilmu,tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,kepada hati yang tidak buta.
                                                            (Gurindam 12, 1864:fasal yang kedua belas)
Berdasarkan Gurindam 12 fasal kedua belas, didapati Raja Ali Haji turut menyentuh hal berkaitan Raja dan juga rakyat. Dalam gurindam ini penulis memberikan nasihat supaya raja haruslah bekerjasama dengan menteri manakala menteri pula haruslah setia melaksanakan tugasan dan patuh kepada raja. Raja juga disuruh supaya adil terhadap rakyat, mengasihi orang yang berilmu, menghormati orang yang pandai.
            Oleh hal yang demikian, jelaslah juga bahawa dalam Gurindam 12 karya Raja Ali Haji ini, menunjukkan juga bahawa ada pemikiran penulis berkaitan hal-hal politik terutamanya kepada pemimpin supaya menjadi pemimpin yang baik.

3.0       Kepengarangan dan Estetika
Estetika atau keindahan adalah suatu sifat dan ciri sastera yang terpenting. Menurut  Mohd Rashid Md. Idris et. al (2014) perkataan sastera berasal daripada perkataan Sanskrit yang merujuk kepada karya yang indah. Estetika ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang dapat menawan perasaan dan terpahat dalam fikiran. Keindahan ialah daya tarikan dalam penikmatan karya sastera terhadap aspek susunan unsur struktur yang harmonis yang memiliki perasaan, pemikiran dan sebagainya.
Pengalaman keindahan ialah apabila kita merasa kesan yang menarik,mengkagumkan, menyedihkan atau yang memeranjatkan.Kekuatan olahan bererti kekuatan teknik dan pencernaan pelbagai aspek dan kompenan yang membina sebuah karya.
Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah mengenai akidah dan tasauf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna. Hal ini semua berkaitan kepengarangan Raja Ali Haji.
Antara contoh yang menunjukkan terkandungnya keindahan Islam yang terdapat dalam Gurindam 12, adalah seperti di bawah:

Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang yang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,tahulah Ia dunia mudarat.
(Gurindam 12, 1864:fasal yang pertama)


Barang siapa mengenal yang tersebut,tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,tiadalah ia menyempurnakan janji.
(Gurindam 12, 1864:fasal yang kedua )

Dalam Gurindam 12 fasal pertama dan fasal kedua ini, sememangnya jelas menunjukkan bahawa penulis menggunakan bahasa yang indah dan tidak menyentuh hal-hal yang sensitif apabila penulis menasihati hal-hal berkaitan agama Islam. Dalam ayat yang indah, menarik dan ringkas, memudahkan pembaca atau pendengar memahami perkara yang ingin disampaikan dalam Gurindam ini. Dalam rangkap pertama gurindam ini, penulis menyuruh supaya masyarakat haruslah berpegang teguh kepada agama dan apabila hidup mengenali tuhan, sudah pasti memperoleh keberkatan, hidup haruslah mengenali diri supaya kita mengingati pencipta. Selain itu, Raja Ali haji juga menyatakan sesiapa yang tahu bahawa dunia yang sebenar-benarnya hanyalah tempat yang penuh tipu daya dan haruslah mengetahui tentang akhirat kerana dunia hanyalah tempat singgahan sementara.
            Dalam Gurindam 12 fasal kedua pula Raja Ali Haji menyatakan tentang kewujudan Allah. Sesungguhnya Allah itu wujud, dan haruslah kita berasa takut untuk melakukan dosa. Penulis juga menyentuh tentang rukun Islam supaya tidak meninggalkan solat kerana sembahyang merupakan tiang agama. Begitu juga dengan puaa haruslah tidak ditinggalkan, mengeluarkan zakat serta menunaikan haji.
            Oleh itu, jelaslah bahawa dalam kedua-dua rangkap yang terkandung dalam Gurindam 12 ini, penulis menyentuh hal berkaitan agama Islam dalam kepengarangannya tentang agama yang disebarkan sebagai pesanan kepada masyarakat dalam bentuk gurindam.
Raja Ali Haji juga menyentuh nilai berkaitan akhlak diri atau akidah dalam gurindamnya. Berikut merupakan gurindam yang mengandungi hal tersebut:


Apabila terpelihara mata,sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,keluarlah fi'il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat,di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,daripada berjaian yang membawa rugi.
(Gurindam 12, 1864:fasal yang ketiga )

Apabila banyak berkata-kata,di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,itulah landa hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,I'ika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,tidak boleh orang berbuat onar.
(Gurindam 12, 1864:fasal yang ketujuh)

Dalam Gurindam 12 fasal ketiga dan ketujuh karya Raja Ali Haji ini jelas menunjukkan bahawa beliau menyentuh hal-hal keperibadian, akhlak dan akidah yang harus ada dalam diri manusia. Raja Ali Haji menasihati masyarakat dengan gaya yag indah dalam kepengarangannya serta dengan bahasa kiasan yang mudah menyebabkan pembaca atau pendengar tidak merasakan bahawa nasihat ini diberikan secara kasar atau berlebih-lebihan. Dalam fasal ketiga Gurindam 12 ini, penulis menyatakan tentang kepentingan menjaga mata, telinga, lidah, tangan,perut, hati dan kaki. Kesemua anggota badan ini haruslah dijaga sebaiknya supaya tidak melakukan hal-hal yang boleh merosakkan akhlak dan akidah seseorang itu. kepentingan menjaga mata supaya tidak melihat perkara yang tidak baik akan membatasi kita dari melakukan keburukan, begitu juga dengan hal menjaga telinga dan lidah daripada mendengar perkara serta berkata tentang perkara yang tidak baik seperti mendengar orang mengumpat atau mengumpat tentang keburukan orang lain.
Dalam fasal ketujuh Gurindam 12 ini pula, Raja Ali Haji menyentuh hal berkaitan akhlak sepertimana dalam Gurindam 12 fasal ketiga. Penulis menasihati supaya diri pembaca atau pendengar tidak banyak berkata-kata hal yang sia-sia kerana orang yang banyak bercakap selalunya dusta. Penulis juga menasihati supaya tidak berlebihan apabila ketawa kerana pasti akan ada kesedihan yang menyebabkan kita akan menangis pula. Selain itu, penulis menyentuh tentang jangan mencela orang, jangan tidur berlebihan, jangan bertingkah-laku kasar kerana semua perbuatan itu adalah tidak baik dan mengundang kebencian orang terhadap diri.
Oleh hal yang demikian, jelaslah dari sudut kepengarangan penulis menyentuh hal berkaitan akidah atau akhlak.

4.0       Kesimpulan
Gurindam 12 karya Raja Ali Haji adalah salah satu naskah Nusantara yang sangat bernilai kepada masyarakat. Kumpulan gurindam ini merupakan salah satu bentuk penyebaran ilmu oleh  Raja Ali Haji. Beliau  memberikan bimbingan moral yang berkaitan agama pada rakyatnya melalui karyanya ini. Tanpa meningggalkan keindahannya sebagai karya sastera, Gurindam 12 memberikan ajaran dan nasihat tentang ibadah, kewajiban raja, kewajiban anak, kewajiban orang tua, budi pekerti, dan hidup bermasyarakat yang dapat dijadikan pedoman hidup semua golongan dalam masyarakat. Gurindam Dua Belas merupakan pusaka bangsa Melayu yang perlu dilestarikan. Naskah Gurindam Dua Belas mencirikan kebudayaan bangsa Melayu yang sangat memegang teguh nilai-nilai agama/religius, nilai moral, nilai keindahan, dan nilai kebenaran/ keyakinan. Oleh itu, keadaan ini menunjukkan  keteguhan nilai ini sudah dipesan atau disampaikan sejak beratus tahun yang lalu. walaupun nilai-nilai tersebut sudah mulai pudar bahkan mulai hilang dari diri bangsa Melayu, keadaan ini merupakan kewajiban kita bersama untuk terus saling mengingatkan jika ada kesalahan yang dilakukan oleh anggota masyarakat yang lain.


Rujukan

Azhar Hj. Wahid dan Zawawi Jahya. (2012). Pendidikan Pembangunan Modal Insan.
            Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2011). Kualau Lumpur: Dewan  Bahasa dan Pustaka.

Koentjaraningrat. (2003) Pengantar Antropologi I. Jakarta: Rineka Cipta

Mohd Rashid Md. Idris, Sri Lanang Jaya Hj. Rohani et. al. (2014). Karya Agung
            Melayu.Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mu’jizah dan Maria Indra Rukmi. (1998)  Penelusuran Penyalinan Naska Naskah Riau
            Abad XIX: Sebuah Kajian Kodikologi. Jakarta: FSUI.




Hikayat Abdullah

1.0  Pendahuluan
Pelbagai genre sastera tradisional menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat moden dengan zaman silam. Menurut Siti Hawa Haji Salleh (1999), sastera tradisional ibarat jendela yang membenarkan masyarakat kini menjenguk dan melihat ke dalam kehidupan masyarakat zaman dahulu. Khazanah sastera Melayu tradisional sangat besar, sebagaimana yang dinyatakan oleh Professor Ismail Hussein (dalam Ilham Rasa, 2008) iaitu kesusasteraan Melayu tradisional merupakan satu bidang kajian yang sangat luas dan sentiasa berkembang dan melahirkan penemuan-penemuan baru yang pelbagai sifatnya. Kesusasteraan Melayu tradisional juga adalah semua gejala kesusasteraan yang berbentuk lisan atau bertulis tetapi tidak bercetak.
      Hikayat Abdullah karya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi merupakan Karya Agung Melayu yang bukan sahaja indah dan menarik dari sudut susunan bahasa dan nilai-nilai dalam kesusasteraan serta sarat dengan fakta-fakta sejarah. Hikayat Abdullah masih lagi terikat dengan sistem ejaan bahasa Melayu klasik yang menggunakan huruf Arab beserta dengan gaya penulisan dan fungsi-fungsinya yang disesuaikan dengan ejaan dalam bahasa Melayu.
      Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi diaggap oleh orang ramai sebagai tokoh awal kesusasteraan Melayu moden. Namun bagi Jihaty Abadi, Abdullah wajar diangkat sebagai bapa kesusasteraan Melayu moden kerana karya-karyanya telah dicetak dan bentuk tulisannya sudah menyimpang jauh daripada bentuk tradisi. Karya-karya Abdullah seperti Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan yang diterbitkan 1938 dan Hikayat Abdullah pada 1848 merupakan memoir Abdullah yang amat penting dalam kesusasteraan Melayu. Karya-karya tersebut mengandungi idea yag benar-benar baharu dan dan berlainan yangsecara langsung menjadi garis pemisah antara Abdullah serta angkatan penulis sebelum dan sezaman dengannya.


2.0  Sinopsis Hikayat Abdullah
Hikayat Abdullah atau Hikayat Abdullah Bin Abdul Kadir 1849, Hikayat Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi 1880 adalah sebuah kisah pengembaraan Abdullah Bin Abd Kadir Munsyi. Hikayat ini berjaya dikarang pada tahun 1845 dan diterbitkan pada tahun 1849. Hikayat ini menjurus kepada autobiografi Abdullah dan mengandungi pandangan peribadi tetapi lebih perseptif tentang masyarakat Singapura dan Melaka pada awal abad ke-19. Hikayat Abdullah ini mengisahkan atau menceritakan tentang zaman kanak-kanaknya di Melaka, pengalaman sendiri tentang pembedahan yang dilakukan kepadanya oleh seorang ahli bedah Inggeris serta kunjungannya ke kem puak Tiandihui iaitu satu kumpulan kongsi gelap Cina di pedalaman Singapura. Selain itu, Abdullah juga menceritakan tentang acara seperti pengasasan Institusi Raffles, perobohan Kota A Famosa di Melaka dan lawatan Lord Minto iaitu seorang Gabenor Jeneral India di Melaka. Sebahagian besar karyanya juga mengandungi pengamatan peribadi tentang personaliti-personaliti pada zamannya, para pegawai dari Inggeris Syarikat Hindia Timur Inggeris seperti Sir Stamford Raffles, Kolonel Farquhar dan John Crawfurd, Sultan Hussein Shah dari Kesultanan Johor, mubaligh dan pedagang dari China.
      Permulaan hikayat ini menceritakan kelahiran Abdullah yang dimulakan dengan serba sedikit latar belakang ahli keluarganya, sejarah susur galur keturunannya,  kisah bapanya juga merupakan seorang pengarang pada suatu masa dahulu. Dalam bahagian permulaan juga diceritakan kisah kelahiran Munsyi Abdullah dan zaman sewaktu beliau masih bayi sehingga ke peringkat kanak-kanak. Seterusnya hikayat ini menceritakan tentang permulaan Abdullah Munsyi menuntut ilmu. Pada peringkat ini, diceritakan tentang beliau mula belajar menulis dan menuntut ilmu daripada bapanya serta beberapa orang guru. Pelbagai pengalaman telah dilaluinya dalam mendalami ilmu membaca, menulis dan mempelajari bahasa-bahasa lain dan perihal hukuman yang dijalankan di tempat beliau menuntut ilmu. Selain itu, bahagian ini menceritakan kisahnya yang telah membantu seorang nahkoda menulis surat perjanjian berhutang. Bermula dari perkara tersebut, Abdullah menunjukkan minat dalam bidang penulisan walaupun masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajarinya.
      Hikayat ini diteruskan dengan bahagian permulaan Abdullah mengarang. Dalam bahagian ini, beliau menulis perkara-perkara yang berlaku disekelilingnya. Pelbagai cerita yang telah tercatat olehnya pada bahagian ini. Bahagian hikayat ini turut menceritakan tentang perkahwinan Abdullah. Permulaan bahagian ini menceritakan tentang bantuan yang diberikan oleh paderi Milne kepadanya. Dalam bahagian ini, diteruskan dengan pembukaan pusat pengajian dan usahanya dalam percetakkan huruf-huruf. Bahagian ini turut menceritakan tentang pengambilan Melaka dari pihak Inggeris kepada Belanda, kisah pembentukkan pemerintahan Singapura dan pengambil alihan kuasa oleh Inggeris. Kisah tersebut diteruskan dengan pembunuhan Sayid Yassin, seorang ahli perniagaan Melayu dan diselangselikan dengan kisah pemberontakkan orang Melayu Melaka dengan orang Temenggung. Abdullah turut menceritakan tentang pembukaan Raffles Instuition, hubungan persahabatan Siam dengan Inggeris, kisah mengenai kongsi gelap, syair Singapura terbakar dan kisah orang Inggeris menyerang Naning.
Bahagian seterusnya menceritakan perihal Abdullah yang telah menjadi pengarang besar. Dalam bahagian ini, beliau menceritakan tentang kisah-kisah lawatannya. Berdasarkan lawatan ke Pahang, Kelantan dan Terengganu, beliau mempersoalkan kelebihan dan kekurangan masyarakat yang hidup di kawasan tersebut. Bahagian ini turut menceritakan tentang lawatannya ke tanah suci serta deti-detik akhir riwayat hidupnya. Bahagian berikut mengenai padangan Abdullah terhadap masyarakat pada zamannya yang hidup dalam keadaan kucar-kacir dan mempersoalkan ketidakadilan pembesar dan raja pada waktu itu.

3.0  Latar Belakang Tokoh
Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang telah dilahirkan pada 12 Ogos 1796, di Kampong Pali, Melaka. Beliau telah  meninggal dunia pada Oktober 1854 di Jeddah, Arab Saudi. Beliau merupakan anak kelima. Semasa hayatnya,  Abdullah menjadi guru bahasa dan penterjemah yang mahir Bahasa Arab, Tamil, Hindustani, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Karyanya ‘Hikayat Abdullah’ telah diterbitkan pada pertengahan abad ke-19 iaitu pada tahun 1849. Beliau diberi gelaran ‘Bapa Kesusasteraaan Melayu Moden' dan merupakan orang Melayu pertama yang menerbitkan buku.
      Beliau dibesarkan oleh ayahnya Sheikh Abdul Kadir, seorang yang alim dan berketurunan Arab-India. Pada usia 7 tahun, beliau dihantar ke Sekolah Al-Quran Kampong Pali. Ayahnya memastikan beliau belajar dengan tekun dan dihukum sekiranya tidak mampu menulis dengan sempurna. Pada waktu itu, beliau menyalin Al-Quran dan menterjemahkan sebuah buku Arab ke Bahasa Melayu. Ketika berusia 11 tahun, Abdullah mendapat wang dengan menulis teks Al-Quran. Dua tahun kemudian, Abdullah mengajar agama Islam kepada askar-askar pasukan India yang berkhidmat di Kota Melaka. Minatnya membaca manuskrip Melayu mendorongnya untuk mendalami bidang tersebut.
      Stamford Raffles yang tiba ke Melaka pada 1810, menggaji Abdullah sebagai seorang penterjemah. Beliau mencatat serta menyalin cerita sastera dan manuskrip Melayu untuk dikumpulkan oleh Raffles. Pada tahun 1811, ketika berusia 14 tahun, Abdullah sudah dikenali sebagai seorang yang berpelajaran tinggi dan berpengetahuan luas.  Pada 1815, Abdullah berkahwin dan dikurniakan 4 orang anak. Abdullah belajar Bahasa Inggeris daripada Rev. Milne, seorang pendakwah Kristian yang akhirnya melantik Abdullah sebagai guru Bahasa Melayunya. Kemudian pada 1818, Abdullah menyaksikan peristiwa meletakkan batu asas untuk Kolej Anglo-Cina oleh Major William Farquhar di Melaka. Empat tahun selepas itu, Abdullah tiba di Singapura dan mengajar Bahasa Melayu kepada askar India, pendakwah Britain dan Amerika serta menjadi setiausaha peribadi Raffles. Sekitar 1840 hingga 1846, Abdullah menulis kisah hidupnya sendiri. ‘Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan’ menceritakan pengalaman tahun 1837 semasa belayar dari Singapura ke Kelantan. Manakala ‘Kisah Pelayaran Abdullah ke Negeri Jeddah’ telah diterbitkan setelah beliau meninggal dunia.

4.0  Ciri-ciri Khusus Karya Agung Melayu (Hikayat Abdullah)

4.1 Isi dan Mesej
Menurut Mohd Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014:69) menyatakan bahawa pemikiran bermula dengan idea , yang kemudiannya dimatangkan oleh pengarang menjadi subjek, akhirnya menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej , mutiara dan permata karya. Dalam berbicara mengenai keunikan Hikayat Abdullah menerusi aspek pemikiran, tidak disangkal lagi bahawa Abdullah bukan sahaja seorang guru, penterjemah, penulis ataupun pengkaji, akan tetapi beliau adalah seoarang pemikir. Menurut Kassim Ahmad (2004), Abdullah bukan sahaja merupakan seorang penulis Melayu Agung dan juga seorang mujaddid serta ahli fikir. Buah fikirannya walaupun sudah berusia lebih seratus lima puluh tahun tetapi masih segar dan perlu diusahakan oleh masyarakat Malaysia pada hari ini. Berdasarkan penceritaan Abdullah dalam hikayatnya, kita dapat melihat bagaimana pemikiran Abdullah yang liberal dan kehadapan berbanding masyarakat yang sezaman dengannya, terutamanya terhadap ilmu-ilmu Inggeris, terhadap Injil dan Kristian dan kritikan-kritikan beliau terhadap kemunduran masyarakat Melayu yang menebal dengan kepercayaan lama yang penuh denga kekarutan.

4.1.1 Idea-idea Rennaisance ( Rasionalis dan Humanis)
Menurut Kassim Ahmad (2004), Abdullah Munsyi melalui pergaulannya dengan tokoh-tokoh Inggeris seperti Stamford Raffles dan William Farquhar telah terpengaruh dengan idea-idea renaissance (kelahiran semula) yang melanda Eropah pada ketika itu. Pegawai Inggeris seperti Raffles dan Farquhar ini dilihat cenderung kepada pemikiran rasionalis dan humanis dalam diri mereka dan perkara ini cukup terkesan kepada Abdullah. Abdullah dilihat tertarik dengan idea-idea baharu renaissance seperti martabat tinggi individu, kebebasam individu, kemuliaan yang diberi kepada ilmu, pemerintahan mengikut undang-undang, semangat tekun, kebersihan, perancangan dan disiplin dalam kehidupan. Namun, Abdullah tidak memuji segala-galanya dari Eropah. Ini terbukti daripada kritikannya terhadap perangai buruk beberapa orang pegawai kolonial dan individu Eropah yang beliau lihat. Contoh ktitikan beliau terhadap pegawai konial Belanda yang bernama Bamgoor adalah seperti berikut :
“…ia itulah yang meminum darah hamba Allah. Maka adalah ia menaruh empat orang mata-mata. Maka sekalian mata-mata itu seperti pacat melompat. Barang di mana bertemu manusia atau binatang, dihisapnya darahnya karena ia segera hendak menjadi ular sawah. Maka mereka itulah tukang mengitip segenap rumah”.
            (Hikayat  Abdullah, 2004:150)
4.1.2 Kepercayaan
Abdullah secara terang menolak sebarang bentuk khurafat, tahyul dan kepercayaan karut lain yang sebati dalam pemikiran orang-orang Melayu pada ketika itu. Hal ini dapat dilihat melalui kritikan Abdullah terhadap kepercayaan Khurafat dalam masyarakat Melayu :
“Segala hantu syaitan yang tersebut itu pun halnya kudapati dalamnya bohong dan tipu dan perdaya dan silap mata. Maka sebab itulah berani aku bersumpah menyebut nama Allah mengatakan bukannya benar, hanya semata-mata kejahatan dalamnya dunia dan akhirat. Maka adapun orang yang percaya dan orang yang berbuat dan orang yang membenarkan pekerjaan itu sama hukumnya mendoakan Allah, sekali-kali tiada yang lain daripada Allah yang boleh memberi baik atau jahat, dan yang mematikan dan menghidupkan dan yang mendatangkan sesuatu bahaya atau kesukaran di atas hamba-Nya.”
(Hikayat  Abdullah, 2004:50)
4.1.3 Kezaliman Raja ke atas Masayarakat Melayu
Pemikiran humanis Abdullah dapat dilihat melalui kritikannya ke atas kezaliman raja pada waktu itu ke atas masyarakat Melayu.Tulisan Abdullah dalam hikayatnya:
“…..sebab aku menyatakan zalim dan aniaya perintah raja-rajanya karena sentiasa tabiat raja Melayu itu, iaitu menghinakan rakyatnya, seolah-olah pada pemandangannya akan rakyat itu seperti binatang, adanya. Maka sebab itulah apabila rakyatnya itu bertemu dengan dia dapat tiada hendaklah duduk di tanah , baik di becak, baik di kotor. Dan lagi, apabila raja-raja itu menghendaki baik anak-anak perempuan, atau barang suatu harta benda rakyatnya, diambil sahaja tiada menjadi suatu kesusahan atau, takut kepada Allah”.
                                    (Hikayat Abdullah, 200: 344-345)
Berdasarkan petikan di atas adalah mengenai raja-raja Melayu di dalam hikayatnya, ternyata Abdullah telah dipengaruhi oleh pemikiran humanis Barat yang menjunjung tinggi kebebasan dan martabat setiapa individu yang diperjuangkan olehnya. Pemikiran Abdullah ini penuh dengan islah (pembaharuan) dengan mengkritik secara terbuka ke atas raja-raja Melayu yang dianggap sebagai bodoh dan malas. Malah, pemikiran islah yang telah dimulakan Abdullah ini telah diteruskan pula oleh angkatan pemikir Timur Tengah dalam Gerakan Islah seperti  Syed Syeikh al-Hadi.
4.1.4 Kecintaan Terhadap Bahasa Inggeris  dan Ilmu Pengtahuan
Pemikran Abdullah juga dilihat sarat dengan kecintaanya terhadap bahasa Melayu, Inggeris dan ilmu pengetahuan. Contohnya, pemikiran Abdullah terhadap bahasa Inggeris adalah berlawanan dengan sikap dan pemikiran masyarakat Melayu yang lain terhadap ilmu tersebut. Karyanya adalah mengenai kepentingan bahasa Inggeris :
“…sudah beberapa kali aku ingatkan akan mereka itu serta memberitahu akan mereka itu bahawa sekali-kali Inggeris hendak memasukkan seseorang ke dalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka, melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris, kelak nanti di belakang banyak gunanya. Kalau sudah pandai, engkau sekalian boleh mencari kehidupan dengan mudahnya”.     
4.1.5 Perkembangan Nahu Bahasa Melayu
Abdullah Munsyi adalah seorang pengkarya pertama yang digelar bapa sastera moden.  Hal ini demikian kerana beliau telah memperlihatkan pekembangan bahasa Melayu melalui setiap karya kesusasteraannya malahan juga beliau menyedari bertapa pentingnya buku nahu bahasa Melayu.  Oleh itu, beliau berpendapat pentingnya buku nahu bahasa :
“ Sebermula handaklah engkau ketahui, janganlah tersalah faham. Maka jikalau ada nahu bahasa Melayu itu nescaya meringankan pekerjaan sahaja gunanya, jangan engkau sangkakan boleh menjadi pandai dalam pekerjaan karang-mengarang. Maka sungguhpun diletakkan hukumnya maka ada juga lagi beberapa perkataan yang tiada menurut hukum itu. Umpamanya jikalau seratus hukum itu barangkali tujuh puluh sahaja yang masuk dalam hukum itu, dan tiga puluh itu di luarnya”.
Hal ini kerana nahu sesebuah bahasa itu dapat menyelesaikan masalah penggunaan bahasa walaupun tidak membantu menyelesaikan seratus peratus. Namun begitu amat penting untuk dipelajari khususnya pelajar-pelajar sekolah dan pelajar-pelajar di universiti serta pengkarya-pengkarya lain. Hal ini tidak bermaksud kita akan menjadi pandai dalam soal karang-mengarang sekiranya dapat menguasai nahu bahasa tetapi hanya sekadar untuk memperkasakan lagi bahasa daripada dianggap tidak mengetahui tentang nahu bahasa.
Sekiranya dibandingkan penggunaan bahasa Melayu sebelum muncul Abdullah, perbezaannya amat ketara sekali kerana bahasa yang digunakan oleh Abdullah Munsyi ternyata ada perkembangannya berbanding pengkarya lain. Perhatikan bahasa yang digunakan dalam petikan di bwah :
“Bahawa ini Kisah Pelayaran Abdullah Abdul Kadir Munsyi kepada tarikh sanat 1253 tahun. Maka bahawa sesungguhnya kepada tahun itu adalah barang saudagar-saudagar orang China dan orang Yahudi yang duduk dalam negeri Singapura, kira-kira sepuluh dan dua belas orang telah memberi sambutan dangangan kepada China sampan pukat empat buah, kira-kira empat lima puluh ribu ringgit banyaknya, akan dibawa ke negeri Pahang dan Terengganu dan Kelantan, Patani dan Senggora.”        
Perkembangan bahasa Melayu yang diperlihatkan oleh Abdullah Munsyi dalam petikan tersebut amat indah gaya penulisannya disertai degan ungkapan-ungkapan baru yang timbul. Perkembangan tersebut tidak hairanlah kerana beliau telah mendapat pendidikan Inggeris manakala sasterawan sebelumnya ramai yang mendapat pendidikan barat. Oleh itu, dalam setiap karya beliau akan terdapat perkataan baru hasil ubahsuaian beliau daripada perkataan Inggeris dimelayukan.
Dalam hikayat beliau juga, Abdullah mencipta perkataan-perkataan atau ungkapan baharu dalam bahasa Melayu untuk memudahkan hal-hal atau urusan yang timbul dalam  pertemuan anatra budaya barat dan timur dan juga mengutrakan pandangan orang Melayu terhadap kedatangan British.
Hal ini demikian kerana beliau ingin memberitahu kepada orang Melayu supaya tidak berprasangka buruk terhadap penjajah kerana tanpa jajahan daripada mereka kita mungkin akan kekurangan ilmu dari segi  ilmu pengetahuan dan tekn ologi yang telah dipindahkan  oleh mereka kepada penduduk tempatan. Walaupun kita beranggapan penjajah itu jahat namun kita perlu melihat dari sudut positif mengenai penjajah kerana tanpa mereka kita tidak akan maju. Gerakan penjajah juga telah meruntuhkan dunia lama, sebaliknya Berjaya membnagun semula. Itulah mesej yang cuba disampaikan oleh Abdullah Musyi melalui penulisannya kepada penduduk tanah Melayu supaya mereka lebih berfikiran jauh dan positif menerima sesuatu.
Abdullah Munsyi juga memberikan kelainan dalam menghasilkan karyanya kerana beliau menghasilkan karyanya kerana beliau menghasilkan karya yang tidak terikat dengan corak penulisan lama seperti terdapatnya cerita mitos atau doggeng, alam ghaib dan ajaib. Hal ini demikian kerana beliau ingin menghasilkan sesuatu yang laindaripada yang lain dan mungkin juga corak penulisan tradisional tidak lagi sesuai digunakan dan sudah tiba masanya berlaku pembaharuan dalam sastera Melayu dan penggunaan bahasa Melayu. Beliau merasakan jika menyelitkan unsur-unsur mitos atau alam ghaib tidak akan membantu perkembangan minda pembaca kerana perkara tersebut hanya mitos dan bukannya benar-benar berlaku dalam kehidupan.
Oleh sebab  itu, Abdullah Munsyi telah menulis melalui hasil pengamatan beliau terhadap sesuatu perkara. Beliau juga menulis tentang pengalaman dan dijadikan sebauh buku serta dikarang dengan bahasa yang indah. Kesemua buku yang dikarang berdasarkan kejadian yang benar-benar berlaku dan tiada unsure mitos. Contohnya, Riwayat Abdullah merupakan buku yang paling popular kerana menceritakan kisah Abdullah Munsyi dari kecil sampailah dewasa.
Hal ini demikian kerana beliau berpendapat dengan menghasilkan buku berdasarkan pengalaman beliau dapat mengajar generasi-generasi zaman kini dan pembaca tentang sesuatu perkara yang dialami oleh beliau dan fahami maksud yang ingin disampaikan  oleh beliau. Selain itu, pembaca dapat mempelajari perkataan-perkataan baharu yang ditulis oleh beliau.
Abdullah Munsyi telah memberikan kritikan yang pedas dalam penulisannya kepada golongan raja Melayu dan golongan elit Melayu di atas sikap golongan tersebut  dank omen serta kritikan terhadap penjajah Inggeris. Keberanian beliau telah disifatkan sebagi fenomena baru dalam dunia penulisan Melayu. Beliau berbuat sedemikian kerana ingin menyedarkan golongan tersebut yang perbuatan sebegitu tidak diterima oleh orang disekeliling.   
Abdullah Munsyi merupakan sastera Melayu yang amat dikagumi kerana beliau berani dalam melakukan sesuatu karya yang lain daripada yang lain serta seoarng yang berfikiran jauh dan memandang sesuatu perkara dari sudut positif dan negatif.




4.2 Nilai budaya (Hikayat Abdullah)
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081), nilai membawa maksud darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial (Mohd Rashid Md Idris, 2011:12), nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawaian kepada sesuatu kelakuan manusia. Dalam bahasa Arab, nilai diistilahkan sebagai al-qimah yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik dan buruk serta membezakan yang betul dan salah. Oleh hal yang demikian, nilai bukan sahaja satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
                        Budaya pula berasal dari perkataan Sanskrit, iaitu Buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara amnya, ia membincangkan hal-hal yang berkaitan budi dan akal manusia. Dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut culture, yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Budaya yang dimiliki oleh manusia merupakan elemen yang membezakan manusia dengan hidupan lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam bidang antropologi. Dalam disiplin ini, tiada perbezaan antara “budaya” dengan “kebudayaan”.
                        Budaya mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenali sebagai determinism atau penentuan budaya dalam kalangan ahli antropologi. Selain itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.
                        Budaya juga turut merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai satu konsep yang menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan, serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
                        Nilai budaya pula merupakan nilai-nilai yang disepakati dan diamalkan dalam suatu masyarakat, sesebuah organisasi, lingkungan masyarakat, kepercayaan, simbol-simbol, dengan ciri-ciri tertentu yang dapat dibezakan antara satu sama lain.
4.2.1 Adat Menjual Anak
Sewaktu dilahirkan sehingga Abdullah berusia empat bulan, Abdullah menjalani kehidupan yang normal seperti bayi-bayi yang lain. Malangnya, pada hari-hari yang berikutnya, kehidupannya tidak seperti biasa. Penyakit yang dihidapi oleh Abdullah silih berganti hari demi hari. Banyak wang yang telah digunakan untuk mengubati penyakit Abdullah. Kesempitan hidup yang dialami oleh kedua-dua ibu bapa Abdullah membuatkan mereka menjual Abdullah kepada keluarga yang mempunyai ramai anak. Adat ini beranggapan anak tersebut tidak serasi tinggal bersama ibu bapanya. Abdullah dijualkan kepada enam atau tujuh orang dan disusui lima belas atau enam belas orang disebabkan ibunya tidak mempunyai air susu. Adat tersebut seringkali dilaksanakan oleh orang-orang tua pada zaman tersebut. Akan tetapi, adat ini hanya pada nama sahaja. Hal ini dapat dibuktikan melalui :
          “ Bermula, adapun adat menjual anak itu bukannya seperti orang menjual hamba, melainkan namanya sahaja, sewang atau lima enam duit, maka duit itu diambil oleh ibu bapanya, dibelikannya penganan atau barang-barang makanan, dimakannya. Maka kemudian anak itu, dia juga memeliharakan dia, tetapi dinamakan sahaja si anu itu, bukannya kami kedua-dua ibu bapanya.”
(Hikayat Abdullah, 2004 : 15)
4.2.2 Adat melepaskan anak mengaji               
Selain itu, dalam hikayat ini, sewaktu Abdullah belajar mengaji, diceritakan juga adat untuk melepaskan anak mengaji. Ibu bapa akan menghantar anak mereka mengaji dengan disertakan sirih dan penganan kepada tok guru. Ibu bapa akan memberi kebenaran kepada tuan guru untuk memukul sekiranya anak tersebut degil tetapi tidak memukul sehingga mengalami kecederaan yang teruk misalnya patah tangan, patah kaki dan cedera di mata. Dalam halaman 24, diceritakan:
“ Sebagai lagi, maka adalah adat apabila seorang melepaskan anaknya mengaji, maka datanglah ibu atau bapa budak yang akan datang mengaji itu dahulu menyembah guru itu serta membawakan sirih secerana dan penganan sedulang bersama-sama dengan budak yang hendak mengaji itu serta ibu bapanya itu berkata, “Tuan atau encik! saya pinta dua perkara sahaja. Pertama-tama biji mata budak ini, dan kedua kaki tangannya, jangan dipatahkan.”
4.2.3 Belajar bahasa Keling
Abdullah juga mengikut adat yang diamalkan oleh masyarakat di negeri Melaka pada masa tersebut iaitu adat belajar bahasa Keling ataupun bahasa Hindu. Kesemua penduduk di negeri Melaka akan belajar bahasa Keling tidak mengira darjat mahupun pangkat. Hal ini demikian kerana pada zaman tersebut terdapat ramai saudagar-saudagar Keling dalam negeri Melaka. Jika mereka tahu mengira dan menghitung serta dapat bertutur dalam bahasa Keling, hal ini memudahkan mereka untuk berurusan dengan saudagar-saudagar Keling. Perkara ini dapat dibuktikan melalui:
“Syahadan, setelah sembuhlah sudah aku daripada bersunat itu, ada kira-kira sebulan lamanya, maka diserahkanlah oleh bapaku kepada guru belajar bahasa Keling dan suratnya, iaitu bahasa Hindu, karena adalah adat dalam negeri Melaka daripada zaman nenek moyang, semuanya anak orang baik-baik dan orang kaya semuanya belajar bahasa itu. Adapun gunanya itu supaya mengetahui ilmu kira-kira dan hitung-menghitung dan boleh bertutur bahasa karena pada zaman itu penuh sesak saudagar-saudagar Keling dalam negeri Melaka.”
(Hikayat Abdullah,  2004:26-27)
4.2.4 Tidak mempelajari bahasa Melayu
Pada ketika itu, kebanyakan anak muda tidak gemar untuk mempelajari bahasa Melayu. Abdullah yang berasal dari keluarga yang miskin dan tidak berpelajaran bersungguh-sungguh dalam mempelajari bahasa Melayu walaupun kebanyakan individu pada zaman tersebut tidak ingin mempelajari bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa kita sendiri. Hal ini tidak menjadi alasan untuk Abdullah tidak mempelajari bahasa Melayu. Selain itu, tempat untuk belajar bahasa Melayu juga tidak ada melainkan tempat untuk belajar Al-Quran. Hal ini dapat dilihat melalui petikan tersebut:
Syahadan darihal anak-anak muda yang pada zaman itu tiada seorang pun yang ingin dengan suka hatinya hendak belajar akan pekerjaan darihal tulis-menulis dan baca surat Melayu itu, sebab bahasa Melayu adanya, melainkan akulah sahaja orang yang hina lagi miskin dan bodoh. Hendak berniaga pun emak bapaku orang miskin, tiada berharta. sebab itulah kutuntut benar-benar sehingga aku menerimalah pusaka serta mewarisi akan kalam dakwat tuan-tuan yang tersebut nama-namanya di atas tadi.
(Hikayat Abdullah, 2004:36)
4.2.5 Belajar Al-Quran, kemudian bahasa Melayu
Sudah menjadi adat dalam masyarakat dahulu menginginkan anak-anak mereka belajar Al-Quran terlebih dahulu, kemudian baharulah boleh mempelajari bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu menitikberatkan unsur keagamaan dalam diri setiap individu pada masa tersebut. Demikianlah perbualan yang berlaku antara Tuan Raffles dengan Abdullah suatu ketika dahulu. Antara petikannya ialah:
“ Dan lagi, ini satu budak, segala yang sudah dibacanya, habis dilupakannya. Maka itulah sahaya suruhkan ia membaca.” Maka kata Tuan Raffles, “Kalau begitu, patut. Maka katanya, “Apa sebab guru tiada ajar bahasa Melayu?” Maka jawab guru itu, “Orang yang empunya anak-anak ini menyuruh ajarkan Qur’an dahulu. Maka kalau sudah ia dapat Qur’an, kemudian boleh belajar bahasa Melayu. Begitulah adat sahaya semuanya. Dan lagi, tiada adat di negeri ini orang taruh tempat belajar bahasa Melayu.”
(Hikayat Abdullah, 2004:68-69)
4.2.6 Adat Makan dalam Masyarakat Hindu
Abdullah turut menceritakan cara makan dalam kalangan masyarakat Hindu. Bermacam jenis cara makan yang menjadi adat dalam kehidupan masyarakat tersebut. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan petikan berikut :
“ Maka adalah kulihat bangsa Hindu itu, yang ada makan seperti anjing, yakni menjilat, dan yang ada tatkala ia makan itu, jikalau dilihat orang maka dibuangkannya nasinya dan dikejarnya orang yang melihat itu, seperti hendak dibunuhnya. Demikianlah marahnya. Dan yang ada sendirinya memasak di tengah panas itu dimakannya di situ juga serta titik peluh padam peluh, seperti mandilah peluhnya. Setelah dimakannya, ditanamkannya nasinya dan gulai yang lebihnya itu ke dalam pasir. Dan yang ada diikatnya tiga urat benang di perutnya lalu ia makan. Maka sampai putus benang itu maka baharulah ia berhenti. Dan yang ada pula kulihat diambilnya tanah putih dan tanah merah, dicontengnya dadanya dan lengannya dan dahinya tiga cabang, maka menyembahlah ia ke hadapannya dan kiri kanannya dan ke belakangnya lalu larilah turun ke laut sampai pusatnya air.”
(Hikayat Abdullah, 2004:75)
4.2.7 Penggunaan Bunyi Bahasa Di Atas, Di Bawah, dan Di Hadapan
Abdullah menceritakan bahawa dia mengetahui tiga sahaja bunyi bahasa dalam bahasa Melayu apabila ditanyakan oleh Tuan Raffles. Hal ini demikian kerana, pada zaman dahulu kesemua individu tidak menggunakan tanda bahasa Arab dalam pembelajaran Al-Quran iaitu fathah, iaitu baris di atas, kasrah, iaitu baris di bawah dan dammah iaitu baris di hadapan. Antara petikannya ialah:
 “Maka jawabku, “Sahaya kira tiga sahaja bunyi bahasa Melayu, tuan.” Katanya, “Apa-apa?” Maka jawabku, “Di atas, di bawah, di hadapan.” Maka katanya, “Apa ertinya?” Maka jawabku, “Ia itu nama tanda[h]bacaan dalam bahasa Arab atau Qur’an. Adapun fathah, iaitu baris di atas dan kasrah, iaitu baris di bawah, dan dammah, iaitu baris di hadapan. Maka oleh sebab Melayu tiada memakai tanda[h]bahasa Arab itu, maka ditukarnya fathah itu dengan alif, dan kasrah itu dengan ya, dan dammah itu dengan wau; menjadilah bunyinya aa, ii, uu.”
(Hikayat Abdullah, 2004:104)
4.2.8 Melakukan perbuatan Khurafat
Kebanyakan manusia pada zaman itu mempercayai bomoh. Mereka melakukan perkara yang mensyirikkan Allah. Banyak wang telah dihabiskan ke jalan tersebut disebabkan pelbagai tujuan. Hal ini adalah untuk kepentingan diri masing-masing. Sebagai contoh :
“Syahadan, adalah kebanyakan bangsa orang yang di sebelah sini, yang percaya berbagai-bagai jenis perkara yang bukan-bukan. Dan lagi, beberapa pula wang mereka itu habis sebab memberi upah akan orang yang berbuat segala perkara bohong dan sia-sia itu masing-masing dengan kehendaknya. Ada yang berkehendak biar dia dikasihi orang; ada pula orang yang berkehendak supaya diturut orang barang katanya; dan pula orang yang berkehendak akan perempuan; dan ada yang hendak membunuh musuhnya, dan sebagainya.”
(Hikayat Abdullah, 2004:114)


4.3 Pandangan hidup Abdullah Munsyi
Secara umumnya, ia merupakan konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutama dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh sesuatu sistem nilai yang tertentu. (Haji Mohd Rashid, Abdul Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Haji Rohani: 2014)
4.3.1 Agama haruslah dijadikan pegangan hidup
Abdullah Munsyi tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu percaya kepada perkara yang tahyul. Beliau menganggap perkara sedemikian adalah karut dan sewajarnya tidak harus diikuti oleh masyarakat Melayu kerana kepercayaan itu akan menjadi halangan kepada kemajuan bangsa Melayu. Abdullah begitu kuat menentang adat dan kepercayaan karut yang bertentangan dengan Islam. Abdullah berpendapat bahawa punca kejumudan adat dan kepercayaan karut-marut ini adalah kurangnya beriman terhadap Allah dan Rasul. Ini dapat dilihat penentangannya terhadap adat menjual anak seperti yang dinyatakan dalam hikayat Abdullah.
“ Nasihat: bahawa ini pun satu adat nenek moyang bodoh yang tiada ia mengetahui Allah Taala, adakah sebab dijualkan itu menjadi panjang umurnya dan jikalau dipelihara oelh ibu bapanya menjadi pendek umurnya atau mati? Maka sekali-kali jangan kita percaya yang demikian.”
( Hikayat Abdullah, 2007:15)
Selain itu, Abdullah juga mengkritik sikap orang Melayu dan orang Cina yang mempercayai hantu syaitan yang diberi pelbagai nama iaitu hantu, syaitan, mambang, hantu mati dibunuh dan mengamalkan pelbagai ilmu yang boleh membahayakan nyawa manusia seperti illmu penunduk, kebal, kesaktian dan sebagainya.
“ Maka lalu datanglah keduanya ke dalam bilik tempat aku menulis, katanya, “apa ertinya Pontianak dan polong?” maka tertawalah aku serta kuertikan kepada Tuan Milne dengan terangnya akan segala nama-nama hantu syaitan yang dipercayai oleh orang cina dan Melayu yang bodoh lagi sia-sia, iaitu turun-temurun daripada nenek moyang dahulu kala”
(Hikayat Abdullah, 2007: 110-111)
4.3.2 Kepentingan meluaskan pengetahuan dengan ilmu
Selain itu, terdapat juga petikan di dalam Hikayat Abdullah ini yang menerapkan unsur keislaman. Misalnya dalam karya hikayat Abdullah, pendidikannya sejak dari kecil lagi menitikberatkan hal-hal keagamaan dan keilmuan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada karya tersebut, iaitu:
“ adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan itu membawa kepada kebesaran, maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan harganya.”
(Hikayat Abdullah, 2004:19)
     Petikan di atas menunjukkan bahawa ciri falsafah Islam apabila segala yang dinyatakan berbalik kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata Allah. Selain itu, menuntut ilmu juga adalah perkara yang disuruh dan sangat dituntut dalam Islam. Hal ini terbukti melalui kata-kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal seharusnya didahului dengan ilmu”.
4.3.3 Sosial
                                i.            Pandangan terhadap amalan jual beli hamba
Abdullah dalam kitabnya Hikayat Abdullah juga turut mengkritik perbuatan jual-beli hamba yang sangat aktif dilakukan atau dijalankan di Tanah Melayu. Beliau tidak sanggup melihat para hamba yang dijula seperti binatang oleh tuan empunya hamba-hamba tersebut. Hal ini boleh dilihat melalui petikan ini:
“ Adapun kebanyakan hamba-hamba perempuan yang datang pada masa itu perempuan Bali dan Bugis. Maka sekalian itulah dibeli segala bangsa, baik Cina, baik Keling, Melayu dibuatnya bini, menjadi banyak beranak-anak sampai sekarang ini…..maka semuanya datang tumpah-ruah ke Singapura, seperti orang menjual kambing, dihalaunya sepanjang jalan, disesahnya dengan rotan. Maka demikianlah halnya pada masa itu, hamba-hamba dijual orang, seperti orang menjual binatang, baik di Melaka, baik di Singapura.
Syahadan, telah aku pulang ke darat, pada esoknya ku khabarkanlah segala hal ehwal itu kepada Tuan Raffles.”
( Hikayat Abdullah, 2007: 192)
Berdasarkan petikan ini, jelas memperlihatkan bahawa Abdullah sangat membenci akan kegiatan jual beli hamba yang dijalankan di Alam Melayu. Bahkan dia juga menyamakan perbuatan jual beli hamba ini sama seperti menjual binatang. Kebenciannya terhadap amalan ini kian ketara apabila dia mengadu kepada pihak Inggeris berkenaan permasalahan ini supaya perbuatan jual beli hamba ini dapat segera dihentikan.
                              ii.            Pandangan terhadap golongan Barat.
Abdullah menghargai dan mengagumi orang-orang Inggeris yang dianggap membawa pengetahuan dan kemajuan kepada masyarakat Melayu. Sikap rajin dan keilmuan orang Inggeris menjadi perhatian beliau dalam Hikayat Abdullah ini. Beliau sangat kagum dengan Tuan Raffles yang rajin. Bahkan dalam hikayat ini beliau tidak berhenti-henti memuji keperibadian Tuan Raffles yang sangat baik pada pendapatnya. Antara petikan yang menunjukkan betapa Abdullah menyenangi keperibadian Tuan Raffles ialah:
“Syahadan, adalah tabiatnya itu kulihat senantiasa di dalam berfikir juga. Maka terlalu pandai ia memberi hormat akan orang serta dengan manis mukanya berbahasa dengan orang; encik dengan encik, tuan dengan tuan dengan tuan, dan banyak lagi, banyak ia menaruh kasihan akan orang; maka tangannya terbuka kepada orang miskin. Dan lagi, terlalu pandai ia membunuh perkataan orang. Dan lagi, selalu apabila ia bercakap dengan tersenyum-senyum.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 63)
                            iii.            Pandangan dan pemikirannya terhadap bahasa Melayu.
Karya Hikayat Abdullah banyak mengkritik tentang sikap masyarakat Melayu yang ada pada zaman itu. Abdullah membuat kritikan ini bukan bermaksud bahawa beliau membenci masyarakat Melayu tetapi sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat Melayu pada ketika itu menyebabkan Abdullah Munsyi tidak sehaluan dengan pandangan dan perilaku orang Melayu. Abdullah menulis tentang masyakat Melayu tidak endah atau mengabaikan bahasa Melayu telah menyedarkan beliau bahawa amatlah penting mempelajari bahasa Melayu dengan mendalam sebelum menguasai bahasa lain atau bahasa asing. Beliau berasa kurang senang dengan sikap orang Melayu yang tidak mahu mempelajari ilmu baru seperti yang terkandung dalam Hikayat Abdullah:
Maka jikalau kiranya kukhabarkan sekalian itu (tentang ilmu-ilmu baru seperti kemajuan elektrik) kepada orang-orang Melayu nescaya ditutup telinganya serta menampar mukaku, katanya, “ Terlalu besar bohong.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 257 -258)
                            iv.            Pandangan terhadap golongan raja dan masyarakat Melayu
Abdullah Munsyi juga ada menyatakan rasa tidak suka atau kurang senang terhadap sikap dan budaya raja Melayu. Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Abdullah yang menyentuh kehendak raja yang tidak boleh dihalang yang dapat dilihat dalam halaman 86:
“Dan lagi, kalau ada berharta dan anak perempuan yang baik-baik, jikalau berkenan raja, diambilnya juga; tiada boleh ditahankan atau tiada diberi, disuruhnya tikam mati-mati sahaja.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 86)
4.3.4 Sistem pemerintahan yang berat sebelah
Politik merujuk kepada sistem pemerintahan. Karya Hikayat Abdullah mempunyai beberapa aspek politik yang ditonjolkan. Yang paling menarik dalam karya ini, Abdullah mengulas dan menceritakan tentang pemerintah beraja yang mana terdapat beberapa elemen yang kurang disenanginya. Sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu menggunakan sistem pemerintahan beraja berkuasa mutlak. Kuasa mutlak ini bermaksud kuasa yang tiada batas atau berkuasa penuh. Seluruh rakyat jelata mesti mentaati raja sepenuh hati. Pada masa yang sama sistem pemerintahan beraja dahulu kala yang dicampurkan dengan adat istiadat yang melampaui batas. Hal ini bertujuan bagi menunjukkan kemuliaan dan membezakan taraf raja dengan rakyat.
Pemerintahan raja berkuasa mutlak pada masa itu, menunjukkan banyak yang berat sebelah ataupun tidak adil. Hal ini dikatakan demikian kerana, segala undanga-undang yang dibuat banyak berpihak kepada golongan raja dan kerabatnya sahaja. Banyak kisah-kisah yang menceritakan hukuman para raja yang tidak adil atau masuk akal. Antaranya seperti di bawah.
“ Maka setelah sudah berkampung, maka Tuan Raffles pun duduklah dia atas tempat bicara itu, katanya, “ Tuan Sultan dan Temenggung, bagaimanakah adat dalam undang-undang orang Melayu, jikalau seorang rakyat menderhaka kepada seorang rajanya sedemikian ini?” Maka jawab Sultan, “ Tuan kalau adat Melayu, orang itu dibunuh habis-habis dengan anak bininya dan kaum keluarganya. Maka tiang rumahnya dibalikkan dan ke atas bumbung rumahnya ke bawah dan tanah bekas rumahnya itu pun dibuangkan ke laut, adanya”.
(Hikayat Abdullah, 2007:180)
Berdasarkan petikan ini maka jelaslah hukuman yang dikenakan kepada rakyat jelata yang menderhaka kepada raja sangat tidak adil. Sekiranya salah seorang dalam sesebuah keluarga menderhaka kepada raja, maka seluruh keluarga akan dibunuh. Yakni keturunannya mesti dihapuskan. Hukuman ini sangat tidak relevan jika diamalkan pada hari ini.          
4.3.5 Kegiatan ekonomi yang pelbagai
Pada zaman dahulu, ekonomi sudah menjadi satu pengenalan bagi sesuatu bangsa. Masyarakat Melayu lebih kepada kerja bertani untuk sara diri manakala masyarakat Cina sinonim dengan perniagaan. Walaupun begitu, ekonomi masyarakat Melayu di Melaka dan Singapura tidaklah tertumpu kepada yang diceritakan dalam sejarah. Kisahnya dalam Hikayat Abdullah terdapat masyarakat Melayu yang menceburi bidang perniagaan. Hal ini didorong oleh faktor negeri Melaka yang menjadi pusat pelabuhan warga asing. Oleh hal yag demikian, semua kaum mmengambil kesempatan merebut rezeki yang ada. Semua barang yang mempunyai nilai akan diniagakan.
     Pada masa yang sama menjual anak untuk tujuan perubatan juga dijadikan sumber ekonomi. Namun, ini bukanlah sumber ekonomi yang besar kepada masyarakat Melayu ketika itu. Perniagaan ini didorong oleh kepercayaan karut dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Kepercayaan ini dikritik hebat oleh Abdullah sehinggakan beliau mengeluarkan persoalan, adakah dengan sebab menjualkan anak, umurnya akan panjang?
“ Bermula, adapun adat menjualkan anak itu bukannya seperti orang menjual hamba, melainkan namanya sahaja, sewang atau lima enam duit, maka duit itu diambil oleh ibu bapanya, dibelikannya penganan atau barang-barang makanan, dimakannya.”
( Hikayat Abdullah, 2007:15)
Selain itu, sumber ekonomi lain masyarakat pada zaman Abdullah ini juga ialah penjualan hamba abdi. Sumber ekonomi ini sangat dikecam oleh Abdullah.
“… Jikalau encik turun ke laut itu, ada satu perahu baharu masuk semalam. Ada tiga empat ratus hamba dibawanya.” Maka Cuma-cumalah aku bertanya ini berapa harganya. Maka katanya, “ ini empat puluh itu tiga puluh.” Maka aku berjalanlah.”
( Hikayat Abdullah, 2007:191)
Dalam petikan di atas jelaslah salah satu sumber ekonomi masyarakat terdahulu adalah menjual hamba. Hamba-hamba ini terdiri daripada laki-laki, perempuan, kanak-kanak bahkan perempuan mengandung turut dijual. Abdullah sangat mengasihani nasib hamba-hamba tersebut yang diperlakukan seperti binatang.
4.4 Nilai Ilmu (Hikayat Abdullah)
Konsep ilmu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Dari segi istilah, ilmu  merupakan pengetahuan, kepandaian atau kajian tentang sesuatu perkara (mampu menafsir, menganalisa, mengolah maksud yang tersirat dan tersurat disebalik maklumat serta berupaya mengemukakan maklumat baru). Menurut bahasa Arab, perkataan ilmu adalah sama dengan maklumat iaitu Alima bererti mengetahui manakala Al-ilmu bererti pengetahuan. Melalui penggabungan kedua-dua perkataan ini, dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai ilmu pengetahuan.
                    i.            Ilmu Jampi
Dalam konteks masyarakat Melayu, Harun Mat Piah (1989) menjelaskan bahawa jampi ialah semua jenis pengucapan sama ada dalam bentuk prosa atau puisi yang mengandungi tujuan dan konotasi magis, pengubatan dan perbomohan. Jampi dalam erti kata lain disebut juga sebagai mantera, serapah, sembur, puja, seru, tangkal dan lain-lain lagi. Haron Daud (2001) pula menyatakan bahawa jampi ialah semua jenis pengucapan dalam bentuk puisi atau bahasa berirama yang mengandungi unsur magik dan diamalkan oleh orang tertentu, terutama bomoh dengan tujuan kebaikan atau sebaliknya. Dalam karya agung Hikayat Abdullah, terdapat beberapa contoh penggunaan ilmu jampi.
Maka apabila sangatlah ia hendak merempuh kandang itu rupanya, maka diambil oleh pawang itu sedikit batang pisang dibaca-bacakannya, kulihat dicampakkannya ke dalam kandang itu. Maka berhentilah ia sebab merebut makanan itu.”
(Hikayat Abdullah,2004: 54)
                  ii.            Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan (2008), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Maksud Firasat dari segi Islam ialah perasaan atau gerakan hati  yang benar atau tepat kerana mendapat pimpinan dari Allah SWT. Sabda Rasulullah: “Takutlah olehmu firasat orang mukmin kerana ia memandang dengan cahaya  Allah.” (Hadis Riwayat At Tarmizi). Di bawah ialah contoh yang menggambarkan Hikayat Abdullah menceritakan,
Maka sebab sangka itu menjadi banyaklah orang bermimpi berjenis-jenis dan yang ada konon ditampar syaitan, muntah-muntah darah lalu mati, dan yang sakit berjenis-jenis penyakit.
(Hikayat Abdullah,2004: 45)
                iii.            Ilmu pendukunan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun ialah orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan menggunakan bacaan jampi serapah dan sebagainya. Dukun juga turut dikenali dengan panggilan bomoh dan pawang. Manakala definisi ilmu pendukunan ialah yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun, di rantau sebelah sini, gejala dan kegiatan perbomohan atau sudah menjadi rempah dalam kehidupan. Dalam karya Hikayat Abdullah, terdapat masyarakat pada zaman dahulu yang menggunakan ilmu pendukunan ini. Mereka menggunakan ilmu pendukunan untuk tujuan yang tertentuDi bawah ialah contoh petikan teks yang menunjukkan penggunaan ilmu jampi dalam Hikayat Abdullah.
“Syahadan, maka adalah pada masa itu, dalam Melaka datang seorang, iaitu datang dari Terengganu, bernama Pawang Gajah. Maka asalnya ia orang Kedah yang tau pada ilmu gajah dan berbagai-bagai ubatan.”
(Hikayat Abdullah,2004:51).
                iv.            Maklumat Tentang Strata Sosial
Stratifikasi Sosial merujuk kepada satu sistem yang mana terdapat pelbagai kategori manusia dalam sesuatu masyarakat. Stratifikasi sosial masyarakat Melayu yang berperingkat jelas telah diperincikan dalam Hikayat Abdullah. Dalam karya tersebut, masyarakat Melayu tradisional dibahagikan kepada dua golongan atau kumpulan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah dan diperintah masing-masing terbahagi pula kepada beberapa kelompok yang lebih kecil bercirikan taraf, kedudukan, dan peranan yang dapat dimainkan dalam masyarakat.
a)      Peniaga dan pedagang
Peniaga merupakan salah satu golongan yang termasuk dalam strata sosial dalam Hikayat Abdullah. Berdasarkan Hikayat Abdullah, didapati bahawa golongan peniaga adalah paling ramai wujud pada zaman tersebut. Kewujudan para peniaga ini telah melahirkan ramai golongan orang kaya. Di bawah ialah contoh yang menunjukkan golongan peniaga terdapat dalam strata sosial dalam Hikayat Hang Tuah.
“Hatta dengan beberapa lamanya ia di sana pekerjaannya sambil berniaga sambil mengajar orang-orang hulu itu daripada hal mengaji dan sembahyang dan sebagainya darihal perkara agama Islam.”
(Hikayat Abdullah,2004:7)
b)      Orang Kaya
Orang kaya merupakan golongan strata sosial yang berada di atas golongan peniaga. Golongan ini yang akan membantu golongan peniaga melariskan hasil jualan mereka. Kebanyakan golongan orang kaya ini juga merupakan golongan peniaga. Dalam Hikayat Abdullah, golongan ini juga tergolong dalam strata sosial pada zaman tersebut. Di bawah ialah contoh petikan teks yang menunjukkan golongan orang kaya yang terdapat pada zaman tersebut.
“Maka banyaklah mereka itu yang menjadi kaya sebab berniaga dalam Melaka.”
(Hikayat Abdullah,2004:27)

c)      Raja atau Sultan
Raja atau sultan merupakan golongan yang berada di kedudukan paling atas dalam strata sosial masyarakat Melayu. Golongan sultan merupakan golongan yang paling dihormati dan rakyat perlu menunjukkan taat setia yang tinggi terhadap sultan. Mereka tidak boleh menderhakai raja/sultan kerana mereka adalah golongan tertinggi. Contoh golongan raja yang terdapat dalam Hikayat Abdullah ialah:
“Sebermula, maka segala orang Melaka daripada empat bangsa orang pun terlalu sangat kasih dan setuju berajakan Tuan Farquhar itu.”
(Hikayat Abdullah,2004:51)
d)     Masyarakat
Masyarakat Melayu mempunyai adat dan istiadat  yang perlu dipatuhi. Dalam Hikayat Abdullah, terdapat banyak adat istiadat yang digambarkan dan digunakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Di bawah ialah contoh petikan teks yang terdapat dalam Hikayat Abdullah.Adat istiadat merupakan salah satu kepentingan utama dalam masyarakat Melayu. Adat istiadat ini dijadikan pegangan yang kukuh kerana adat ini melambangkan maruah orang-orang Melayu.Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.
            Adat seperti yang didefinisikan ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Dalam Hikayat Abdullah, terdapat banyak adat istiadat yang digambarkan dan digunakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Di bawah ialah contoh petikan teks yang terdapat dalam Hikayat Abdullah.
“Bermula, adapun adat menjualkan anak itu bukannya seperti orang menjual hamba, melainkan namanya sahaja, sewang atau lima enam duit, maka duit itu diambil oleh ibu bapanya, dibelikannya penganan atau barang-barang makanan, dimakankannya.”
(Hikayat Abdullah,2004: 15)
4.5 Seni Kepengarangan “Hikayat Abdullah”
Berdasarkan Hikayat Abdullah karya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, beliau telah menerapkan seni kepengarangan berdasarkan estetik atau keindahan yang berkait-rapat dengan kesan daripada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Keindahan juga terpancar daripada bahasa yang digunakan pengarang seperti cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya juga menyerlahkan aspek keindahan. Terdapat hanya empat jenis keindahan yang digarap dalam penulisan karya Hikayat Abdullah iaitu:
                    i.            Keindahan pengalaman
Keindahan pengalaman bergantung kepada keunikan pengalaman iaitu pengalaman yang luar biasa, belum pernah dialami, menarik dan memberi kepuasan kepada pengarang. Antara contoh keindahan pengalaman dalam teks karya Hikayat Abdullah iaitu:
“…Maka ada pada suatu hari datanglah jurutulisnya yang bernama Ibrahim itu ke rumahku, duduk-duduk bercakap darihal Tuan Raffles itu hendak mencari jurutulis Melayu yang baik bekas tangannya menul…Maka pada petang itu juga datanglah seorang orang mata-matanya memanggil aku. Maka pergilah aku, lalu katanya, “Encik tulislah surat-surat kiriman ini ke dalam kitab.”…
                                                                                                (Hikayat Abdullah, 2004:63)
Berdasarkan petikan teks tersebut menunjukkan pengalaman Abdullah sebagai seorang penterjemah. Stamford Raflles yang tiba ke Melaka pada tahun 1810 telah menggaji Abdullah sebagai seorang penterjemah. Beliau telah mencatat serta menyalin cerita sastera dan manuskrip Melayu untuk dikumpulkan oleh Raffles.
                  ii.            Keindahan perasaan
Aspek keindahan juga berkait-rapat dengan kemampuan sesebuah teks itu bagi menimbulkan perasaan gembira, simpati, marah, terharu dan sebagainya. Selain itu, karya tersebut juga dapat menimbulkan perasaan simpati, geram, benci, cemburu dan sebagainya. Terdapat contoh keindahan perasaan dalam teks Hikayat Abdullah iaitu:
...Maka pada tiap-tiap pagi aku pergi mengaji ke tempat belajar dan malam-malam diajar oleh bapaku di rumah. Maka beberapa banyak kena pukul dan tampar dan beberapa papan loh yang pecah-pecah dihempaskan oleh guruku di kepalaku dan beberapa rotan pecah-pecah di tubuhku dan beberapa kali ditangisi oleh bondaku akan daku, sebab banyak kena pukul itu. Maka barangkali jari-jariku bengkak-bengkak kena pukul sebab menulis salah itu. Ketahui olehmu bahawasanya demikianlah susahnya akan mendapat ilmu dan akal itu serta kepandaian dan pelajaran yang baik adanya…”
                                                                                       (Hikayat Abdullah, 2004:19)

Berdasarkan petikan teks tersebut, jelas menunjukkan bahawa dapat menimbulkan perasaan simpati pembaca kepada Abdullah kerana sikap gurunya yang sering memukul Abdullah tanpa belas kasihan.
                iii.            Keindahan pemikiran
Keindahan pemikiran berdasarkan pemikiran atau falsafah hidup pengarang yang ditonjolkan oleh pengarang dalam karyanya. Pembaca dapat menerapkan dalam kehidupan mereka berdasarkan pemikiran dan falsafah hidup tersebut. Terdapat contoh teks karya Hikayat Abdullah yang memaparkan keindahan pemikiran:
…“Jangan baca kitab ini. Buangkan karena ini kitab orang putih. Nanti rosak iman kita. “Maka jawabku kepada mereka itu, “Bagaimana engkau boleh tau ini kitab orang putih? Bukankah ini bahasa Melayu? Dan bolehkah ia ini merosakkan iman kita? Apakah ertinya iman itu?...ertinya iman itu yang kuketahui, percaya. Maka jikalau kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain, jikalau tiada percaya aku akan dia, bolehkah rosak iman?...Maka diamlah mereka itu…
                                                                                               (Hikayat Abdullah, 2004:102)
           
Berdasarkan petikan teks tersebut dapat kita lihat bahawa Abdullah seorang yang berfikiran luas dan tidak berfikiran kolot serta beliau telah membuat kritikan terhadap masyarakat Melayu pada waktu itu. Hal ini membuktikan kepada kita bahawa perubahan dalam masayarakat kita berlaku sangat lambat.
                iv.            Keindahan wawasan
Karya yang mempunyai aspek keindahan wawasan dapat dilihat berdasarkan teks yang dibinanya. Watak-watak yang terdapat dalam karya mempunyai wawasan, cita-cita dan keazaman yang dapat dijadikan contoh kepada pembaca. Terdapat contoh keindahan wawasan dalam teks hikayat Abdullah iaitu:
“…Arakian, maka adalah sedikit hari kemudian daripada sudah mati guruku yang mengajar bahasa Melayu itu maka duduklah aku menulis sahaja surat-suratku dengan susah hati dengan tiada belajar. Maka dengan tolong Allah, datanglah seorang orang arab, bangsanya syeikh dan negerinya Yaman. Adapun itu ahli dalam pengajian Qur’an dan namanya Mualim Muhyidin Maka apabila segala orang-orang Melaka mendengar pengajiannya itu, maka masing-masing pun tercenganglah, seperti mendengar bunyi-bunyian syurga, sebab pengajiannya itu serta dengan hukum tajwid dengan panjang pendek, seperti ukurannya...Hatta maka muafakatlah masing-masing dengan membuat perjanjian, barang siapa mengaji setahun, seorang bayar lima ringgit...”
(Hikayat Abdullah, 2004:38)
“…Sebermula setelah selesailah aku belajar mengaji Qur’an itu, kemudian daripada sedikit hari pula, bahawa datanglah seorang orang alim, iaitu bangsa ‘Arab lagi sayid namanya Sayid Syeikh bin Alwi, Bafaqih bangsanya. Maka bahawasanya adalah ia itu alim besar dalam bahasa Melayu, istimewa dalam bahasa Arab. Maka apabila datanglah ia ke dalam Melaka, maka masing-masing tercenganglah sebab menegarkan sesuatu masalah yang diuraikannya…Maka itu pun diperbuatlah oleh orang tua-tua bicara kalau barang siapa yang hendak belajar, boleh bayar seorang lima ringgit dalam setahun…”
(Hikayat Abdullah, 2004:39)
Berdasarkan kedua-dua contoh teks hikayat tersebut dapat difahami bahawa terdapat kesungguhan dan keazaman yang ditonjolkan oleh Abdullah dan penduduk di negeri Melaka yang dahagakan ilmu pengetahuan. Mereka sanggup membayar yuran sebagai ganjaran kepada guru-guru yang tidak putus asa mendidik mereka. Keazaman tersebut boleh dijadikan contoh kepada para pembaca.
4.6 Seni Bahasa “Hikayat Abdullah”
Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1326), retorik didefinisikan sebagai teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris dalam Seni Mengarang (2013:14) menyatakan bahawa retorik merupakan seni berbahasa yang sangat mementingkan kesampaian maksud dengan cara manipulasi segala unsur bahasa sama ada aspek tatabahasa, semantik, estetik dan logik.
            Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris dalam Seni Mengarang (2013:28-33), retorik terbahagi kepada enam jenis iaitu pemerian, penceritaan, penerangan, pendedahan, penguhujahan, pemujukan. Terdapat empat aspek retorik yang digarap dalam Hikayat Abdullah iaitu:

                      i.            Retorik pemerian
Pemerian merupakan penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar.
…Kawasan itu semak belaka. Hanya di padang itulah tiada berhutan besar, tetapi dipenuhi pokok-pokok ambuing, malapari, bulangan dan tulang-tulang kayu. Di seberang sungai kelihatan pokok-pokok bakau, api-api, buta-buta, jeruju dan tulang-tulangnya sahaja. Ada sebuah bukit yang tinggi di hujung tanjung Kuala Singapura…
                                                                                        (Hikayat Abdullah, 2004:161)
                    ii.            Retorik penceritaan
Merupakan satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan. Di samping itu juga, penceritaan menghubungkan beberapa siri peristiwa yang berkaitan dalam satu plot logik.
…Tuan Raffles datang ke Melaka. Setelah berbincang dan besetuju, dimintanya Kolonel Farquhar belayar ke Singapura untuk melaksanakan kerja tersebut. Ketika itu Tuan Raffles telah diarahkan pergi ke Aceh oleh Tuan Jenderal untuk mendamaikan pertelingkahan di antara Aceh Pidir dengan Teluk Semawi yang hendak berperang…
                                                                                        (Hikayat Abdullah, 2004:155)
                  iii.            Retorik penerangan
Penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Penerangan berfungsi untuk memberi penjelasan sesuatu perkara yang lebih terperinci dan tersusun.
…Maka kulihat sifat orangnya pendek dan mukanya bundar dan rambutnya putih dan tubuhnya sederhana…
                                                                                          (Hikayat Abdullah, 2004:79)
                  iv.            Retorik pendedahan
Retorik pendedahan adalah untuk mendedahkan sesuatu perkara atau maklumat dengan jelas dan terperinci. Selain itu juga, digunakan untuk memerihalkan sesuatu yang lebih jelas dan terperinci untuk memberi idea atau maklumat kepada pembaca atau pendengar.
…Akan tetapi, setelah aku mendapat pelajaran dan akal sedikit-sedikit serta membaca kitab-kitab, tambahan pula telah bercampur-campur dengan orang berakal, orang putih bahawasanya kuketahuilah sekalian itu bohong, lagipun penipu besar, adanya…
                                                                                        (Hikayat Abdullah, 2004:114)
     Selain itu, etimologi perkataan retorik adalah daripada bahasa Greek iaitu perkataan rethor yang bermaksud pemidato, dalam bahasa Yunani iaitu perkataan rhetorike yang bermaksud seni berpidato, dalam bahasa Perancis pula rhetorique dan bahasa Inggeris rhetorik. Mengikut retorik Melayu Klasik, retorik merupakan peribahasa, pantun, syair gurindam dan sebagainya. Terdapat beberapa retorik Melayu Klasik dalam karya Hikayat Abdullah seperti:
                                i.            Peribahasa
Peribahasa dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1185), bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang terntentu. Antara contoh peribahasa dalam teks karya Hikayat Abdullah iaitu:
a)      “Lihat rupa tulisanmu: Seperti cakar ayam, membuang-buang kertas! Budak-budak kecil pun boleh menulis demikian!”
                                                                             (Hikayat Abdullah, 2004:30)
b)      …karena kuketahui perkara itu oleh sebab melihat tabiat dan kelakuannya dua laki isteri telah berpatutanlah, yang telah dijodohkan Allah: Seperti susu dengan sakar, seperti cincin dengan permata, adanya. Seperti kata arif: Dapat tiada pohon yang baik itu ahirnya memberi buah yang baik juga.
           (Hikayat Abdullah, 2004:332)
                              ii.            Pantun
Pantun dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1137), bermaksud puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap. Dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan  yang selainnya mengandungi maksudnya. Terdapat beberapa contoh pantun dalam petikan teks Hikayat Abdullah iaitu:

a)      Pantun berkaitan tanggungjawab suami dan isteri:

                 Puyu-puyu konon namanya,
                             Di dalam kolam konon tempatnya;
                 Cantik manis barang lakunya,
                             Serta dengan budi bahasanya.

                 Dalam kolam konon tempatnya,
                             Dipijak oleh laksamana;
                 Canti manis barang lakunya,
                             Serta dengan kebijaksanaanya.
             (Hikayat Abdullah, 2004:70)
b)      Antara rangkap pantun “Tuan Raffles Dua Laki Isteri:
Burung bilibis di atas lantai,
     Buah rambai dalam padi;
Tuan Raffles orang yang pandai,
     Tahu sungguh mengambil hati.

Buah rambai buah padi,
     Lazat cita pula rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
     Serta dengan budi bahasanya.
                                                                           (Hikayat Abdullah, 2004:206)

Tambahan lagi, terdapat juga pengaruh bahasa asing dan penggunaan bahasa istana dalam karya Hikayat Abdullah. Antaranya seperti yang berikut:

                                            i.     Bahasa asing
a)      Bahasa Inggeris
Sebermula maka tersebutlah perkataan “chapel” atau tempat sembahyang orang putih di Melaka.
(Hikayat Abdullah,2004:253)
Chapel bermaksud gereja kecil.
Maka itulah kami ada berbuat chartnya di kapal.
(Hikayat Abdullah,2004:261)
Maksud chart ialah carta, rajah atau peta.

                                        
b)      Bahasa Arab
Maka dalam segala hal yang tersebut itu telah yakin hatiku mengatakan bahawa dapat tiada adalah juga beberapa kesalahan dalamnya daripada khilaf atau lupa...
               (Hikayat Abdullah, 2004:7)
Maksud perkataan khilaf ialah salah kerana kecuaian, kurang pengalaman, keliru, atau silap.
c)      Bahasa Jawa
Bahawa maka adalah kepada tatkala Hijrah sanat 1256 tahun kepada lima likur hari bulan  Sya’ban al-Mukarram, iaitu kepada dua likur..
(Hikayat Abdullah, 2004:3)
Likur bermaksud untuk menyatakan bilangan antara 20 dan 30.
d)     Bahasa Indonesia- Belanda
…kemudian datang pula perintah lagi dari Betawi menyuruhkan bapaku pergi Riau menjadi tolok, iaitu jurubahasa dan jurutulis bahasa Melayu.
             (Hikayat Abdullah, 2004:10)
Tolok pula bermaksud jurubahasa. Dalam bahasa Belanda disebut tolk.
e)      Bahasa Indonesia
Dan lagi pula, kebanyakan orang yang bebal yang tiada berbatu uji di tangannya, apabila ia mendengar cakap orang berbaga-bagai itu…
              (Hikayat Abdullah, 2004:4)
Cakap bermaksud sanggup, boleh, mampu, pandai melakukan sesuatu atau cekap.


f)       Bahasa Portugis
…maka baharulah dihantarkannya kepada piskal, kemudian kepada feitor, kemudian baharulah masuk ke dalam justisa.
             (Hikayat Abdullah, 2004:27)
Feitor bermaksud jawatan seorang pegawai rendah Syarikat Hindia Timur Inggeris. Kemudian digunakan untuk jawatan hakim mahkamah daerah.
                                     ii.          Kata pangkal ayat
a)      Maka sebab itu tiadalah diperasakan oleh mereka itu darihal mencari kehidupan masing-masing dengan bersakit
          (Hikayat Abdullah, 2004:266)
5.0 Kesimpulan
Pelbagai isi dan mesej yang disampaikan melalui Hikayat Abdullah memberi pelbagai manfaat kepada para pembaca. Selain itu, adat yang sering diamalkan oleh masyarakat pada zaman dahulu dapat diketahui dan dipelajari misalnya adat menjual anak, adat melepaskan anak mengaji, dan adat makan dalam masyarakat Hindu. Pandangan hidup mengenai bahasa Melayu juga merupakan salah satu perkara yang harus dibanggakan oleh bangsa Melayu. Dalam Hikayat Abdullah ini juga ilmu yang diamalkan dalam masyarakat haruslah dibanggakan. Budaya yang diamalkan oleh abdullah amatlah dibanggakan melalui penglibatan Abdullah dalam mempelajari bidang bahasa Melayu sehingga beliau berjaya mewarisi ilmu-ilmu tersebut daripada guru-gurunya. Hal ini adalah sesuatu yang luar biasa kerana, kebanyakan individu pada masa itu tidak mempelajari bahasa Melayu. Mereka menganggap, bahasa Melayu merupakan bahasa mereka sendiri dan mereka tidak perlu mempelajarinya lagi. Teknik kepengarangan yang digunakan oleh penulis juga membolehkan pembaca memahami mesej yang ingin disampaikan dengan lebih jelas. Hal ini demikian kerana, dalam Hikayat Abdullah ini terdapat beberapa jenis puisi yang digunakan misalnya pantun bagi membolehkan mesej yang disampaikan lebih menarik.    


Rujukan
Abdullah Abdul Kadir Munsyi (2007). Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012). Seni Mengarang. Tanjung Malim:                         Universiti Pendidkan Idris.
Haron Daud (2001). Mantera Melayu: Analisis Pemikiran. Pulau Pinang: Penerbit Universiti
            Sains Malaysia.

Ilham Rasa, (2008). Kesusasteraan Melayu tradisional. Diperoleh pada April, 11 2014
daripada http://kalimahbestari.blogspot.com/2008/09/definisi-kesusasteraan.html
Mohd Affandi Hassan et.al, (1988/1989). Kesusasteraan Melayu: Mitos dan realiti: kumpulan       esei/ kritikan Hadiah Sastera Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sri Lanang, Mana Sikana, Mohd Rashid Idris & Naffi Mat (2013). Penghayatan Karya
            Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Siti Hawa Haji Salleh, (1999). Nota penyelidikan: Kesusasteraan Melayu tradisional dan   peranan filologi. Diperoleh pada April, 11 2014 daripada

Talib Samat (2002). Pemikiran Bahasa dan Sastera Zulkifli Muhammad dari Perspektif
            Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.